Home »
BN
» Pejabat SUK & Ketua Menteri gagal habiskan bajet diperuntukan
GEORGETOWN - Pejabat Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri gagal menghabiskan peruntukan tahunan untuk beberapa projek pembangunan yang sepatutnya dilaksanakan untuk tahun 2010 dan 2011.
Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (BN-Teluk Bahang) berkata, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara, kedua-dua pejabat itu diperuntukkan RM379.77 juta pada 2010 dan hanya berjaya menghabiskan 54.7 peratus daripada peruntukan berkenaan.
Beliau yang juga Pemangku Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri berkata, kegagalan itu menyebabkan antara 23 projek tidak dapat dilaksanakan termasuk enam projek pembesaran masjid dan sekolah agama, tanah perkuburan Islam (tiga), rumah murah (enam), siasatan untuk meningkatkan keadaan ekonomi Pulau Pinang (tiga) dan masing-masing satu untuk bangunan sukan, dan bekalan air.
“Ini menunjukkan pentadbiran Kerajaan Negeri tidak cekap dan gagal memanfaatkan peruntukan yang ada untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.
“Kita hairan setiap tahun Kerajaan Negeri menambah peruntukan untuk kedua-dua pejabat itu tetapi bajet itu gagal digunakan sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Bilik Ketua Pembangkang semalam.
Bagaimanapun, Dr Hilmi memuji sembilan jabatan negeri yang berjaya membelanjakan antara 70 hingga 90 peratus daripada peruntukan tahunan yang disediakan.
Menurutnya, pada tahun lalu, kedua-dua pejabat itu menerima RM480.61 juta dan hanya berjaya membelanjakan RM101.1 juta.
“Jumlah ini hanya mewakili 21 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan yang disediakan,” katanya.
Diminta mengulas mengenai pertambahan bajet untuk tahun depan kepada RM1.13 bilion berbanding RM752.53 juta bagi tahun ini, Dr Hilmi berkata, Kerajaan Negeri hanya mahu berbangga dan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai banyak wang dan mampu melaksanakan pelbagai projek pembangunan.
“Saya yakin bajet tahun depan pun akan mengalami keadaan yang sama seperti sebelumnya. Apabila sampai hujung tahun, banyak peruntukan yang tidak dapat dihabiskan tanpa alasan yang munasabah.
“Tiada guna jika Kerajaan Negeri hanya berbangga kerana dapat meningkatkan lebihan pendapatan (surplus) pada setiap hujung tahun sedangkan projek pembangunan tidak dilaksanakan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Post a Comment