Headlines News :
Home » » PM seronok berinteraksi dengan rakyat di #TanyaNajib

PM seronok berinteraksi dengan rakyat di #TanyaNajib



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pengalamannya berinteraksi secara langsung dengan pelbagai lapisan rakyat mengenai Bajet 2013 melalui sesi #TanyaNajib sangat menyeronokkan dan berharap dapat melakukannya lagi di masa depan. Beliau berkata, penggunaan teknologi media sosial untuk berbicara dengan rakyat serta menjawab pelbagai kemusykilan mereka mengenai Bajet 2013 menjadi sejarah memberangsangkan buat dirinya.

 “Saya bukan saja dapat berinteraksi dengan lima rakan kita, malah menjawab soalan melalui facebook dan twitter, malah rakyat kita di London menyaksikan siaran ini.

 “Dalam satu majlis, berapa juta rakyat Malaysia dapat mendengar mesej yang saya sampaikan. Insya-Allah kita akan teruskan di masa depan,” katanya ketika menjawab soalan daripada moderator #TanyaNajib Bajet 2013 Hangout On Air, Suhaimi Sulaiman, malam tadi.

 Pada sesi selama sejam itu, Perdana Menteri berinteraksi secara langsung dengan lima belia dari Sarawak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah serta seorang dari United Kingdom termasuk menjawab soalan dikemukakan menerusi facebook dan twitter.

 Antara soalan yang ditanya berkaitan kesan Bajet 2013 membantu rakyat terutama di kawasan luar bandar, rasionalnya kerajaan memberi rebat untuk telefon pintar 3G, adakah kerajaan bercadang mengurangkan duti eksais kereta serta bagaimana kerajaan membantu golongan pertengahan di bandar. Ditanya mengenai bagaimana kerajaan dapat mengawal kenaikan harga barang berikutan pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen, Najib berkata, kerajaan akan memantau harga semua barangan kawalan.

 “Kita nasihatkan tidak wajar peniaga menaikkan harga makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menjalankan pemantauan.

 “Kedua, kita ada Kedai Rakyat 1Malaysia yang kita akan perluaskan lagi selepas ini, kalau ada kedai tidak bertanggungjawab, kita pergi ke Kedai Rakyat 1Malaysia yang harganya sangat berpatutan,” katanya.

 Najib yang ditanya kenapa perlu mengurangkan cukai korporat kerana ia sebahagian daripada pendapatan negara berkata, apabila cukai ditingkatkan, ia menyebabkan kesan kurangnya persaingan dan inovasi sesebuah syarikat.

 Menerusi soalan di Facebook, Najib ketawa ditanya jika graduan tidak perlu mengambil ujian untuk memohon pekerjaan di jabatan kerajaan.

 “Kita perlu melihat kaliber pemohon dan di syarikat swasta sendiri adanya ujian. Jadi apa yang perlu kita lakukan ialah melengkapkan diri kita dengan pengetahuan supaya majikan yakin apabila mengambil kita bekerja,” katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger