GEORGE TOWN, 10 Okt 2012 — Pembangunan yang dinikmati rakyat Pulau Pinang selama ini adalah hasil usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) demi keselesaan dan kebajikan mereka, kata Ketua Biro Penerangan BN Negeri Tan Cheng Liang.
Segala kemudahan yang dinikmati rakyat negeri ini adalah dibiayai kerajaan BN termasuk pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang melibatkan kos RM4.5 bilion untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, katanya di sini, Rabu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat kemajuan jambatan kedua oleh Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) sebagai pemegang konsesi anjuran Biro Penerangan BN negeri berhubung perkembangan projek itu.
Sambil menolak kenyataan pembangkang bahawa kerajaan BN mengabaikan Pulau Pinang, Tan membidas mereka kerana suka menolak tanggungjawab kepada kerajaan BN dan mengambil pujian apabila sesuatu projek itu berjaya.
Katanya kerajaan harus menyelesaikan sistem pengangkutan dalam negeri dan bukan dengan menyalahkan kerajaan BN apabila berlaku kesilapan teknikal seperti sistem pengangkutan yang lemah dan kelewatan projek jambatan kedua.
– BERNAMA
Post a Comment