Headlines News :
Home » » Penduduk bantah pembinaan kilang di kampung

Penduduk bantah pembinaan kilang di kampung



BAYAN LEPAS - Lebih 300 penduduk Kampung Permatang Tepi Bendang membantah cadangan pembinaan kilang ringan dan pejabat berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan kediaman dikhuatiri bakal mengundang masalah. Kesemua penduduk mula berhimpun di surau berhampiran sebelum mula berarak ke kawasan pembinaan yang terletak kira-kira 200 meter.

 Masing-masing membawa sepanduk dan melaungkan ketidakpuasan hati terhadap pemaju sambil berkumpul di hadapan tapak pembinaan kira-kira setengah jam. Kawasan yang dipagar pemaju turut diconteng, manakala papan tanda projek turut dikoyak dan digantikan dengan kain rentang bantahan.

 Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk, Abdullah Baharom mendakwa, bantahan aman itu diadakan sebagai tanda protes penghuni setempat yang tidak mahu kawasan berhampiran dimajukan melalui pembinaan kilang-kilang kecil.

 “Selama ini, tanah seluas 1.12 hekar itu merupakan kawasan tadahan air dan kami keliru bagaimana status tanah terbabit boleh digazetkan sebagai kawasan zon industri? “Sebenarnya pembangunan kawasan itu dirancang sejak 1996 lagi dan ditangguhkan sementara apabila kami mengemukakan bantahan untuk menghalang kerja pembinaan.

 “Kini, projek terbabit bakal diteruskan dan penghuni di sini bukan sahaja berhadapan risiko keselamatan, malah meningkatkan risiko banjir kilat,” katanya. Penerangan pemaju longgar Beliau berkata, penduduk pernah mendapatkan penjelasan pihak pemaju, namun sesi penerangan yang longgar merunsingkan penduduk.

 “Pada 9 September lalu, pemaju ada mengadakan jamuan Aidilfitri di surau dan menjemput penduduk untuk sesi taklimat ringkas.

 “Berdasarkan penjelasan yang diberikan, pemaju akan menggunakan jalan utama kampung bagi laluan lori muatan berat untuk kerja pembinaan. “Keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak yang berjalan kaki ke sekolah bukan sahaja terjejas, malah membahayakan pengguna laluan tersebut,” katanya.

 Abdullah berkata, pemaju memaklumkan laluan itu turut akan ditinggikan bagi memudahkan lori keluar masuk dan akan diselaraskan dengan sistem perparitan yang ada untuk mengelakkan banjir kilat. “Masalahnya, banjir kilat akan semakin buruk kerana kawasan kediaman penduduk lebih rendah, sekali gus menyebabkan air hujan terus mengalir ke rumah berhampiran.

Idea yang dinyatakan bukan sahaja tidak boleh digunakan, malah akan memburukkan lagi keadaan,” katanya. Menurutnya, pemaju memaklumkan sistem baru yang bakal dilaksanakan bakal menyalurkan saliran air ke sungai berhampiran.

 “Selain kawasan sungai, mereka juga ada memberitahu saluran air turut akan diselenggarakan ke bendang berdekatan dan secara keseluruhannya saya tidak mengerti apa pelan mereka sebenarnya.

 “Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menyalurkan sistem perparitan ke mana-mana kawasan yang dinyatakan kerana ia masih akan menjejaskan kediaman penduduk kampung,” katanya.

 Penduduk mahu PBT tampil Penduduk, Raja Shariff Ali Akbar berkata, sekiranya sistem perparitan yang ada tidak dapat menampung saliran air, banjir kilat akan kerap berlaku pada musim hujan. Menurutnya, kawasan kampung itu bermula dari laluan utama sehinggalah berhampiran pagar Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL).

 “Justeru, diharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat tampil untuk memantau dan memastikan punca sebenar masalah ini supaya dapat diselesaikan dengan kerjasama semua pihak,” katanya. Sulaiman Mat, 77, yang merupakan penduduk asal kampung itu turut meningkah tindakan pemaju yang berkeras untuk membangunkan kilang dan pejabat memandangkan masih terdapat banyak rumah kampung di belakang kawasan berkenaan.

 “Jika jalan utama hendak ditinggikan, sudah pasti rumah saya yang dulu dimasuki air apabila hujan kerana kediaman saya terletak bersebelahan kawasan yang dipagar.,” katanya. M Vetham, 40 berkata, anak-anaknya menggunakan laluan itu setiap hari dan lori yang lalu-lalang membahayakan nyawa penduduk. 

“Kami tidak menghalang pembangunan, namun kawasan perindustrian yang bakal dibangunkan terlalu dekat dengan kawasan kediaman dan menjejaskan penduduk dari pelbagai aspek. “Kehadiran ramai pekerja asing turut membahayakan keselamatan penduduk. Harap pemaju dapat mengadakan sesi dialog bersama penduduk untuk merungkaikan segala kekusutan, sekali gus menerangkan situasi sebenar,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Negeri, Norman Zahalan berkata, beliau kesal dengan situasi yang berlaku apabila penduduk terpaksa melakukan demonstrasi untuk dapatkan perhatian Kerajaan Negeri. “Pemimpin tempatan pun tidak datang untuk bertanya khabar dan menyelami masalah penduduk dan membiarkan mereka sendiri berhadapan dengan konflik ini. “Mereka sepatutnya tampil membantu dan membela nasib penduduk, bukannya dengan hanya mendiamkan diri. Diharapkan melalui bantahan ini akan ada jalan penyelesaian dalam sedikit masa lagi,” katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger