Headlines News :
Home » » Mualaf Cina gembira dapat menunaikan haji di Mekah

Mualaf Cina gembira dapat menunaikan haji di Mekah




NIBONG TEBAL 22 Sept. - Dua mualaf berketurunan Cina yang memeluk Islam pada 2003 gembira apabila hasrat ke Mekah untuk menunaikan haji tercapai hari ini.

 Mohd. Fauzi Abdullah, 80, dan isterinya Siti Khatijah Abdullah, 72, akan berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Mohd. Fauzi berkata, dia menyimpan wang sedikit demi sedikit selepas pencen sebagai anggota polis pada 1987.

 "Sebahagian lagi wang diberikan anak-anak saya yang telah memeluk Islam lebih awal dari saya. "Saya tidak menduga dapat pergi haji dan semua itu rezeki yang diberikan Allah SWT," katanya ketika ditemui di sini semalam.

 Beliau ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada bakal haji oleh Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Nibong Tebal, Datuk Zainal Abidin Osman di Masjid Nurul Iman, Jalan Bukit Panchor di sini. Seramai 62 jemaah haji bagi tiga Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh, Jawi dan Sungai Bakap menerima sumbangan wang tunai.

 Sementara itu, Siti Khatijah berkata, dia akan berdoa di Mekah supaya dua lagi anaknya Tony, 35, dan Jenny, 33, yang masih belum memeluk Islam dapat mengikut ajaran Islam. "Tiga anak saya iaitu Mohd. Ali, 42, Abdul Ghani, 30, dan Mohd. Shafiee, 40, sudah lama memeluk Islam.

Merekalah yang tidak henti-henti mendesak dan memberi tunjuk ajar agar saya dapat memeluk Islam. "Saya pada mulanya tidak mahu kerana tidak pandai bercakap bahasa Melayu dan apabila sudah memeluk Islam, saya seronok kerana tiga anak saya memberikan sokongan kepada saya untuk mengikuti ajaran Islam," ujarnya.

 Sementara itu, Zainal Abidin berharap bakal haji dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna. Menurutnya, sumbangan yang diberikan sejak 15 tahun lalu merupakan tanda ingatan kepada bakal haji di daerah ini.
Share this post :

+ comments + 1 comments

Anonymous
September 26, 2012 at 8:26 AM

apa yg pas buat???

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger