Headlines News :
Home » » DAP bercita-cita mahu kuasa autonomi ?

DAP bercita-cita mahu kuasa autonomi ?



KUALA LUMPUR 24 Ogos - Keghairahan DAP yang dikatakan mahu mendominasi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dipercayai mempunyai kaitan dengan cita-cita parti itu untuk mendapatkan kuasa autonomi. Difahamkan DAP bercita-cita menjadi kuasa tunggal bagi membolehkan mereka menentukan dasar kerajaan negeri tanpa memerlukan sokongan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu pun Pas.

 Menurut sumber dalaman PKR, sikap DAP itu menimbulkan rasa kurang senang parti tersebut dan satu lagi parti sekutu iaitu Pas.

 "PKR mahu perkongsian kuasa yang adil dalam pakatan pembangkang, tetapi DAP cenderung ke arah kuasa autonomi," katanya.

 Kemelut pembahagian kerusi itu memuncak sehingga tersebar kenyataan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman yang menyifatkan Lim Guan Eng sebagai sombong dan angkuh. Keadaan itu membuktikan hakikat DAP sebenarnya berkuasa serta berpengaruh dalam pembangkang dan bukannya PKR atau Pas sekali gus menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ahli kedua-dua parti tersebut.

 Pada masa sama, ia juga dilihat sebagai kemenangan DAP setelah parti itu berjaya menundukkan Pas dalam isu hudud selepas Anwar sendiri mengesahkan bahawa hukum tersebut tidak akan dilaksanakan selagi tidak mendapat persetujuan DAP.

 Baru-baru ini sebuah blog, gelagatanwar.wordpress.com mendedahkan minit mesyuarat rahsia yang memetik kenyataan Mansor sebagai berkata: "Dia (Guan Eng) amat sombong, saya beritahu kamu. Sombong dan angkuh. Ia tidak mudah. Kini lebih angkuh." Bagaimanapun hari ini, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang itu dalam usaha yang dilihat cuba menjernihkan keadaan tampil menafikan beliau mengungkapkan perkataan sombong dan angkuh. -UTUSAN-
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger