Headlines News :
Home » » YDP MAIPP: Kerajaan DAP Pulau Pinang akui silap

YDP MAIPP: Kerajaan DAP Pulau Pinang akui silap



PULAU PINANG 18 April - Kerajaan DAP Pulau Pinang mengakui membuat kesilapan dalam isu pelantikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang baharu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, pihaknya sebelum ini menghantar nama Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim ke Istana Negara bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk dilantik ke jawatan tersebut pada 22 Disember lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, cadangan itu dibatalkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang memutuskan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Salleh Man sebagai Yang Dipertua MAIPP bagi tempoh dua tahun mengikut Seksyen 11 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004.

"Kita mengakui kesilapan kita dengan menghantar nama Abdul Malik terlebih dahulu berikutan beliau menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri.

"Kekeliruan berbangkit apabila watikah daripada Istana Negara yang dikeluarkan pada 10 Februari lalu telah melantik Abdul Malik sebagai Yang Dipertua MAIPP yang baharu sedangkan MMK memutuskan nama Mohd. Salleh.

"Surat rayuan sudah kita hantar ke pihak istana pada 20 Januari lalu bagi memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara ini, namun pihak istana memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda tidak dapat menerima permohonan itu berikutan mempunyai urusan rasmi yang lebih mendesak," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Kerajaan DAP Pulau Pinang baru-baru ini dibidas kerana masih belum melantik Yang Dipertua MAIPP yang baharu sehingga didakwa menjadi punca banyak isu berkaitan hak dan kepentingan umat Islam di negeri ini tidak dapat diselesaikan.

Mohd. Salleh pernah dijanjikan jawatan berkenaan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada Ogos 2009.

Bagaimanapun, selepas berjaya mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman pada pilihan raya tersebut, janji itu tidak dapat ditunaikan.

Jawatan Yang Dipertua MAIPP kosong sejak 1 Januari lalu selepas tempoh perkhidmatan Ellias Zakaria tamat pada 31 Disember tahun lepas.

Mansor memberitahu, oleh kerana MAIPP perlu menjalankan mesyuarat pertama dalam tempoh tiga bulan selepas watikah pelantikan dikeluarkan, maka Mohd. Salleh akan mempengerusikan mesyuarat pertamanya esok.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger