RAWANG 8 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sememangnya mampu termasuk daripada segi kewangan untuk melaksanakan Belanjawan 2012 yang dibentangkan di Parlimen semalam.
“Kalau tak ada duit tak kan saya berani bentang semalam. Saya akan melakukan satu perbuatan membunuh diri dari segi politik kalau saya buat, saya bentang satu bajet yang tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan mampu melaksanakan Belanjawan 2012.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Mesra Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kundang dan melawat cadangan jalan pintas menghubungkan Kampung Baru Kundang dengan Bandar Tasik Puteri Rawang, di sini hari ini.
Katanya kerajaan memang berkemampuan dan rakyat hanya perlu menunggu pelaksanaannya.
Mengenai Belanjawan Bayangan Pembangkang berjumlah RM220 bilion yang berbeza hanya kira-kira RM10 bilion dengan Belanjawan Kerajaan RM232.8 bilion, Najib berkata soalan mengapa nampaknya nilai belanjawan pembangkang dengan kerajaan semacam hampir sama hendaklah diajukan kepada pembangkang.
“Itu kena tanya dia sebab bajet kita ni cara telus orang tahu, orang tahu bajet kita, barangkali dia tahu bajet kita. Jadi apa yang kita buat dalam lingkungan kemampuan kita dan kemampuan kita pun, kita telah bagi tahu daripada segi apa kita mampu lakukan,” katanya.
Mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa pengumuman beliau untuk mengkaji dan menaikkan elaun dan kemudahan anggota parlimen jika disetujui kedua-dua pihak, tidak disokong oleh anggota pembangkang, seperti yang dilaporkan.
Najib berkata beliau difahamkan anggota-anggota Parlimen pembangkang mahukan kajian semula elaun mereka dan beliau hairan Ketua Pembangkang berkata sebaliknya.
Anggota-anggota Parlimen pembangkang apabila berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan anggota-anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) sering meminta supaya kerajaan mempertimbangkan kajian semula elaun wakil rakyat.
Mengenai dakwaan Ketua Pembangkang bahawa belanjawan negara yang dibentangkan semalam tidak realistik, Najib berkata Belanjawan Negara dibuat berdasarkan fakta yang amat diketahui oleh kerajaan dan melibatkan banyak pihak termasuk pegawai-pegawai daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Jadi tidak mungkin mereka ini tidak mengetahui apa yang patut dibentangkan daripada segi fakta untuk keputusan Perdana Menteri dan kerajaan, katanya.
“Jadi apa pun yang penting sekali ialah pelaksanaannya dan apabila pelaksanaannya nanti berkesan segalanya akan terjawab dengan sendirinya.
“ Kalau dikatakan tidak realistik maknanya kitaa tidak mungkin memenuhi janji-janji kita seperti terkandung dalam Belanjawan 2012 sebaliknya saya nak tahu apa yang dia akan kata kalau kita dapat melaksanakannya. Itu akan menjawab segalanya,” kata Perdana Menteri.
Mengenai reaksi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa kurang berita gembira untuk pekerja swasta berbanding kerajaan dalam belanjawan kali ini, beliau berkata faedah untuk kakitangan swasta bergantung kepada rundingan mereka dengan majikan masing-masing.
“Kita tak boleh mengarahkan pihak swasta tapi kita harap melalui rundingan terutama sekali bila kita telah wujudkan mekanisme untuk menentukan gaji minimum mereka boleh menimbangkan gaji minimum yang munasabah bagi setiap sektor pekerjaan,” katanya.
Najib juga berkata tiada kenaikan cukai rokok pada Belanjawan 2012 kerana kadar penggunaan rokok haram kini terlalu tinggi, iaitu 40 peratus dan jika harga rokok meningkat peratusan mereka yang menghisap rokok haram ini akan meningkat.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan boleh menimbang untuk menaikkan cukai atau harga rokok pada bila-bila masa jika keadaan memerlukan.
Mengenai perkembangan jentera Barisan Nasional (BN) Selangor selepas konvensyennya dua minggu lepas, Najib berkata jentera BN semakin bersemangat dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 semakin bertampah rapi tetapi mereka perlu berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada BN.
Sebelum itu semasa berucap di Majlis Mesra Rakyat, beliau mengumumkan bahawa kerajaan akan membina satu jalan pintas menghubungkan Kampung Baru Kundang dengan Bandar Tasik Puteri Rawang sejauh 3.2 km dengan kos RM4.2 juta.
Beliau berkata jalan ini akan memberikan manfaat kepada 10,000 penduduk sekitar apabila masa perjalanan dapat disingkatkan kepada lima minit berbanding dengan 30 minit jika mengikut jalan lama sejauh 20 km.
Najib juga berkata pihaknya akan berbincang dengan syarikat yang mengendalikan Lebuhraya Latar yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuala Selangor supaya dapat menyediakan satu jalan keluar dari lebuh raya itu ke Kundang.
Beliau dimaklumkan pada masa ini hanya terdapat jalan masuk dari Kundang ke lebuh raya itu dan beliau berharap syarikat yang mengendalikan lebuh raya tersebut akan bersetuju dengan pembinaan jalan keluar ke Kundang dari Lebuhraya Latar.
Post a Comment