Headlines News :
Home » , » Peniaga bantah kerajaan DAP mahu roboh pentas karaoke

Peniaga bantah kerajaan DAP mahu roboh pentas karaoke


Tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang dikatakan mahu merobohkan pentas karaoke berhampiran dengan Kompleks Selera Seri Pantai di sini dikhuatiri bakal menjejaskan pendapatan lebih 50 pengusaha gerai Melayu yang berniaga di medan selera itu.

Bukan sahaja bakal menjadikan kawasan itu yang sebelum ini meriah bertukar sunyi malah beberapa peniaga yang ditemui juga melahirkan rasa bimbang akan ‘gulung tikar’ berikutan tindakan pihak berkuasa tempatan itu yang akan menyebabkan premis perniagaan mereka kurang daya tarikan.

Peniaga, Md Salin Puteh, 55, berkata, pentas yang dibina sejak 15 tahun lalu adalah hasil inisiatif peniaga untuk memberikan hiburan kepada pelanggan sambil menjamu selera.

Katanya, pentas yang melibatkan belanja kira-kira RM50,000 itu pernah dirobohkan oleh MPPP tahun lalu namun tindakan MPPP itu memberi kesan kepada perniagaan mereka sehinggakan mereka kehilangan banyak pelanggan dan menanggung kerugian.

“Selepas dirobohkan, kesemua peniaga di sini bersetuju untuk membina semula dua pentas karaoke baru dengan niat untuk menjadikan kawasan ini kembali meriah dan menjadi tumpuan orang ramai.

“Namun, apa yang mengecewakan kami selepas setahun pentas lama dirobohkan, MPPP sekali lagi menghantar notis mahu merobohkan lagi dua pentas kami bina di sini,” katanya ketika ditemui media di sini, kelmarin.

Katanya, sejak dia mendapat notis dari MPPP yang memberikan tempoh selama tujuh hari untuk merobohkan pentas menyebabkan peniaga-peniaga di situ hidup dalam keadaan tidak tenang.

Mengikut notis yang dihantarkan kepada Salin pada 29 September lalu, dia diarahkan untuk menghentikan sebarang aktiviti hiburan (karaoke) dan merobohkan struktur pentas itu dan sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari akan menyebabkan lesen perniagaannya dibatalkan selain tindakan undang-undang.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah yang turut berada pada sidang media itu berkata, tindakan Kerajaan Negeri mengganggu peniaga di situ menunjukkan Kerajaan Negeri bersikap pilih kasih.

“Selain bertindak pilih kasih, Ikhlas juga syak terdapat unsur rasuah sehingga menyebabkan peniaga lain tidak diambil tindakan,” katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger