KUALA SELANGOR 22 Sept. - Amalan memilih calon-calon luar atau 'payung terjun' perlu dikekalkan pada pilihan raya umum akan datang dan masih sesuai dalam suasana politik semasa.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana ada calon 'payung terjun' yang mempunyai pengalaman dan kebolehan tersendiri mampu membantu kerajaan dengan lebih baik selain berkelayakan untuk dilantik ke jawatan menteri Kabinet.
"Pemilihan calon 'payung terjun' ini perlu dikekalkan kerana ada di antara mereka yang mampu membantu pemerintah untuk mentadbir dengan baik.
"Sebagai contoh, semasa saya menjadi Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin (bekas Menteri Kewangan) diangkat sebagai calon 'payung terjun' kerana kita sedar dengan kemampuannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan ceramah bertajuk, Peranan dan Cabaran Terkini Wakil Rakyat di hadapan kira-kira 140 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan ADUN Tambun Tulang, Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang meminta pandangan sama ada kaedah pengambilan calon 'payung terjun' termasuk nama-nama yang dikemukakan oleh istana masih sesuai.
Penampilan Dr. Mahathir itu adalah bersempena program perhimpunan ADUN-ADUN BN (BNBBC) dari seluruh negara yang berlangsung sejak semalam hingga esok.
Hadir sama, Pengerusi Kelab BNBBC Malaysia, Datuk Nadzri Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Amiruddin Setro.
Dr. Mahathir berkata, melantik orang luar menyertai kerajaan adalah satu keperluan sebagaimana pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri walaupun beliau bukan ahli politik.
"Kita tidak boleh tolak orang yang berkebolehan untuk menganggotai Kabinet kerana ada juga kita terima rungutan bahawa menteri tidak tahu itu dan ini. Saya ingat bijak belaka tetapi ada orang kata tidak bijak, jadi kita perlu juga calon payung terjun," katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak boleh selama-lamanya melantik seseorang individu sebagai senator sebaliknya perlu menurunkan pihak terbabit sebagai calon dalam pilihan raya jika khidmat mereka masih diperlukan.
Namun, Dr. Mahathir mengingatkan kaedah pemilihan calon 'payung terjun' tidak boleh diamalkan selalu kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada parti dan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau mahu wakil rakyat BN supaya sentiasa menjaga imej masing-masing agar dapat memenangi hati rakyat.
"Eloklah wakil rakyat buat program tidur di rumah rakyat, tetapi kalau dia datang ke rumah orang kampung yang robek dengan menaiki kereta Mercedes, itu tidak sesuai malah kadangkala orang benci.
"Wakil rakyat sepatutnya tidak mengejar kemewahan, sebaliknya mereka perlu sentiasa hidup dalam kesederhanaan dan mampu berkhidmat untuk rakyat," katanya
Post a Comment