Headlines News :
Home » , » Mat Sabu mengaku tak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth

Mat Sabu mengaku tak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth



BUTTERWORTH: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi atas dakwaan membuat tohmahan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, dekat sini, 21 Ogos lalu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Selain itu, beliau turut berdepan dengan pertuduhan pilihan mengikut seksyen sama dengan memfitnah tiga anggota polis yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Sementara itu, lebih 100 penyokong Mat Sabu berkumpul di luar pekarangan mahkamah sejak jam 8 pagi tadi bagi memberi sokongan.

Turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya PAS I negeri, Khalid Man dan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

Mat Sabu didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Mohamad didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai pada 10 malam hingga 12 tengah malam 21 Ogos di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam ) Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas, Padang Menora, Tasek Gelugor.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan alternatif, Mohamad didakwa telah memfitnah anggota-anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950, dengan membuat tohmahan dalam ucapan kepada orang ramai pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

Pertuduhan dibuat selepas aduan daripada tiga orang ahli keluarga anggota polis yang terkorban dalam serang pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff.

Mohamad yang memakai baju kemeja hijau dengan jaket berwarna biru dan berseluar hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Terdahulu, tiga Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Mohamad Hanafiah Zakaria, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Namun selepas rayuan oleh peguam Hanafiah Maidin dan Aminuddin Zulkifli, yang mewakili pemimpin PAS itu, Hakim Ikmal Hishan menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Ikmal Hishan juga menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula dan 5 hingga 9 Disember sebagai tarikh perbicaraan kes.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger