Headlines News :
Home » , » Pilihanraya masjid : Surat rayuan sudah dihantar kepada Agong

Pilihanraya masjid : Surat rayuan sudah dihantar kepada Agong



PULAU PINANG 13 Jun - Badan Perhubungan UMNO negeri sudah menghantar surat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya membatalkan keputusan kerajaan DAP Pulau Pinang mengadakan pilihan raya masjid pertengahan bulan ini.

Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, surat rayuan itu diserahkan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini.

''Saya berharap Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Pulau Pinang dapat menghalang perkara yang boleh memecahbelahkan orang Islam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan, Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) negeri, Datuk Loga Bala Mohan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong.

Zainal Abidin berkata, keputusan mengadakan pilihan raya berkenaan wajar dikaji sedalam-dalamnya kerana ia boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan jawatankuasa kariah masjid.

Katanya, pelaksanaan pemilihan tersebut seolah-olah mempunyai agenda tertentu untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

Beliau turut mempersoalkan adakah kaedah yang sama akan digunakan untuk memilih jawatankuasa kuil, gereja dan tokong atas prinsip mencari keadilan.

''Saya tidak pasti sama ada jawatankuasa untuk kuil, tokong dan gereja juga ada dibuat pemilihan atau tidak di negeri ini. Kalau perlu, kenapa masjid sahaja ada pilihan raya?

''Sebab itu kita berpendapat perkara ini perlu ditelitikan secara mendalam sebelum membuat apa-apa keputusan kerana ia membabitkan hal ehwal agama," ujarnya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger