GEORGETOWN- Tindakan memadam petak tempat meletak teksi di bahu jalan berdekatan pusat beli belah Prangin Mall dan Komtar oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), semalam menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa ahli Persatuan Pemandu Teksi Komtar Ria.
Pengerusi persatuan berkenaan, Azman Shah Abdullah berkata, tindakan itu seolah-olah menabur pasir ke dalam periuk nasi mereka berikutan mereka mempunyai surat kelulusan daripada MPPP untuk mewujudkan tapak meletak teksi di situ.
“Kami ada surat kelulusan daripada MPPP yang membenarkan kami membuat tapak meletak teksi di sini selain pelan yang menunjukkan lokasi yang membolehkan kami membuat petak meletak teksi.
“Walaupun surat ini dikeluarkan pada tahun 2008 namun tiada tempoh diberikan, bermakna kelulusan ini tidak ada tarikh tertentu yang perlu kami perbaharui.
“Mengapa buat kami begini? Kalau betul nak padam, padam semua sekali kerana terdapat empat persatuan teksi di kawasan Komtar ini. Jika nak dikirakan kami tidak di bawah Gabungan Teksi Pulau Pinang, sebanyak 15 persatuan tidak berdaftar dengan Gabungan Teksi Pulau Pinang. Namun kalau kami sahaja yang kena, ini tidak adil,” katanya kepada media, semalam.
Menurutnya, pihaknya percaya tindakan MPPP itu ada kena mengena dengan pertukaran pimpinan Kerajaan Negeri berikutan kelulusan itu dibuat pada tahun 2008 iaitu ketika Barisan Nasional (BN) memimpin Pulau Pinang.
Bagaimanapun, katanya, persatuan akan bermesyuarat bagi menentukan tindakan seterusnya sama ada bersemuka dengan MPPP ataupun sebaliknya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik yang turut serta ketika operasi memadam petak meletak teksi petang semalam berkata, tindakan itu diambil berikutan persatuan itu membuat sendiri petak tempat meletak teksi tanpa kelulusan daripada MPPP terlebih dahulu.
Menurutnya, pihaknya menerima banyak aduan sejak tahun lalu dan tindakan memadam petak tempat meletak teksi itu adalah kali kedua berikutan sikap degil ahli persatuan.
“Antara masalah yang timbul orang ramai adalah kesesakan lalu lintas berikutan tindakan pemandu teksi yang meletak teksi mereka di bahu jalan ini. Ini juga adalah kali kedua kita memadam petak meletak teksi ini kerana kali pertama dipadam, ahli persatuan membuatnya kembali.
“Jika benar dakwaan mereka mendapat kelulusan, pihak MPPP sendiri akan datang dan membuat petak tempat letak teksi dan bukannya ahli persatuan yang buat sendiri. Saya tidak dapat menerima surat yang mereka berikan berikutan ia dikeluarkan pada tahun 2008 iaitu tiga tahun lalu dan ketika itu juga bukan Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah Pulau Pinang,” katanya.
Menurutnya, pengerusi persatuan itu sepatutnya membuat permohonan semula bagi mendapat kelulusan MPPP yang baru bawah Kerajaan Negeri PR.