Headlines News :
Home » , » Pilihanraya masjid : Pemuda UMNO P.Pinang cabar selesaikan dulu daftar pemilih

Pilihanraya masjid : Pemuda UMNO P.Pinang cabar selesaikan dulu daftar pemilih



PERMATANG PAUH – “Selesaikan dulu masalah daftar pemilih, baru adakan pilihan raya pemilihan jawatankuasa kariah masjid,” kata Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin.

Menurutnya, kenyataan Angkatan Muda Pulau Pinang (AMKPP) melalui laporan yang disiarkan akhbar ini 10 Jun lalu yang mencadangkan sistem daftar pemilih dikemas kini jelas membuktikan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, justeru ia perlu diselesaikan sebelum proses pengundian dilakukan.

“Macam mana nak buat pengundian jika daftar pemilih tidak dikemas kini. Jika benar sepertimana yang dikatakan Ketua AMKPP, Amir Md Ghazali kuasa pengundian hanya diberikan kepada kariah yang bermastautin lebih dari tiga bulan sahaja, siapa mereka dan bagaimana kita hendak tentukan mereka sudah tinggal di kariah itu lebih dari tiga bulan, " katanya.

“Saya juga umpamanya adalah anak kariah Taman Pauh, tetapi saya orang Bagan. Jika saya mengundi di Bagan pun, siapa yang tahu, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, jika benar AMKPP ikhlas, mereka perlu mendesak Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim supaya selesaikan dulu masalah daftar pemilih.

Shaikh Hussein berkata, senarai nama pemilih seharusnya dipamerkan terlebih dahulu bagi memastikan anak kariah yang tinggal di situ sahaja layak mengundi, bukannya terus mengadakan pilihan raya.

Menurutnya, jika perkara itu tidak diselesaikan, akan timbul masalah di kemudian hari yang mana perpecahan akan berlaku dalam kalangan anak kariah itu sendiri.

Shaik Hussein dalam pada itu meragui tindakan Kerajaan Negeri dalam mengadakan pilihan raya masjid dalam keadaan tergesa-gesa.

Menurutnya, tindakan itu dilihat seolah mempunyai agenda politik tertentu dan menggunakan masjid sebagai medium untuk memecah-belahkan keharmonian umat Islam.

Ia kerana, katanya sokongan orang Melayu kini banyak berpihak kepada UMNO dan kerajaan DAP menggunakan masjid untuk menguji tahap sokongan rakyat kepada mereka.


“Umat Islam tidak akan bersatu, sebaliknya pergaduhan akan berlaku jika masjid dijadikan medan berpolitik dan undian itu nanti sudah tentu akan ada unsur kepartian,” katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger