PULAU PINANG 14 Jun - Meskipun kerajaan DAP Pulau Pinang mendakwa kaedah pelaksanaan 'pilihan raya masjid' adalah mengikut lunas undang-undang sedia ada, ia dilihat masih membelakangkan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam negeri.
Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Ifan Zaimi Md. Tahar menegaskan, sebarang pembaharuan dalam kaedah sedia perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
"Sepatutnya setiap cadangan termasuk pilihan raya masjid perlu mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong.
"Bukan buat dulu kemudian baru dapat kelulusan. Kata putus masih dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya yang juga pengamal undang-undang kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim berkata, pelaksanaan kaedah pemilihan itu masih mengikut peraturan yang digariskan dalam Seksyen 104(1)(b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid.
Abdul Malik berkata, tatacara baru yang diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) itu merupakan penambahbaikan terhadap pemilihan sedia ada seperti yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Menurut Ifan Zaimi, Abdul Malik sepatutnya menyatakan secara jelas bahawa cadangan berkenaan tidak membelakangkan undang-undang syariah negeri.
"Abdul Malik sekadar cakap secara am. Kita minta dia memberi penjelasan secara khusus apa yang dimaksudkan pelaksanaan kaedah pilihan raya masjid mengikut enakmen sedia ada," ujarnya.
Post a Comment