GEORGETOWN- Penduduk sekitar kawasan Jalan Kedah menggesa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menjelaskan mengenai kelulusan yang diberikan kepada sebuah syarikat pemaju yang dilihat telah menceroboh kawasan tanah wakaf bagi membangunkan projek komersial.
Pengerusi Jawatankuasa Masjid Tengah, Datuk Seri Mohd Yussof Latiff berkata, tanah yang diwakafkan kepada MPPP sejak tahun 50an untuk pembinaan laluan bagi kegunaan orang ramai dikesan telah diceroboh sejak sebulan lalu sehingga menimbulkan tanda tanya kariah dan penduduk berhampiran.
Menurutnya, penduduk di kawasan itu keliru sama ada MPPP memberi kebenaran kepada pemaju untuk membangunkan sebahagian daripada premisnya menggunakan tanah wakaf berkenaan ataupun ia sengaja diceroboh tanpa pengetahuan pihak berkuasa tempatan itu.
“Sekiranya MPPP tidak mahu lagi menggunakan tanah wakaf itu sebagai lorong belakang, ia sepatutnya dikembalikan semula kepada Masjid Tengah yang berhak, bukannya menyerahkan kepada pihak lain untuk dimajukan,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.
Tidak berpuas hati dengan tindakan pemaju menutup lorong belakang yang menyebabkan penduduk di flet Jalan Kedah terpaksa berjalan jauh untuk ke Masjid Tengah, semalam, kira-kira 50 penduduk termasuk beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan perhimpunan aman di pekarangan masjid berkenaan sebagai membantah tindakan pemaju dan MPPP itu.
Mereka juga bertindak merobohkan pagar yang dibina pemaju bagi membolehkan orang ramai kembali menggunakan lorong belakang itu untuk ke masjid atau kawasan berhampiran.
Mohd Yussof berkata, timbul persoalan apabila pelaksanaan projek pembinaan premis itu dilihat tidak mematuhi peraturan ditetapkan iaitu perlu ada lorong belakang seluas 3.3 meter.
Beliau berkata, walaupun tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan namun projek itu tetap diteruskan.
“Seolah-olah ada yang tidak kena apabila projek terbabit diteruskan walaupun tidak mengikuti peraturan sudah ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
“Kami meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat perkara ini kerana jelas apa dilakukan pemaju tidak mengikuti peraturan tetapi tidak pula dihalang oleh pihak berkuasa,” katanya.
Post a Comment