Headlines News :
Home » » Kerajaan DAP Pulau Pinang Cuba Putar Belit Kos Billion Ringgit

Kerajaan DAP Pulau Pinang Cuba Putar Belit Kos Billion Ringgit

NIBONG TEBAL, 15 Dis – Sekali lagi kerajaan negeri Pulau Pinang dilihat cuba putar-belit berkaitan kos projek yang dijalankan. Jika sebelum ini kos projek terowong dasar laut, kini kos unjuran Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) pula dipertikaikan apabila kos yang dikatakan menelan belanja sebanyak RM27 bilion, tiba-tiba meningkat kepada RM46 bilion.


Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman mendesak kerajaan negeri pimpinan Dap untuk memperjelaskan bagaimana kos tersebut boleh meningkat malah lebih mengelirukan apabila Pengarah Urusan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling mengeluarkan kenyataan (Gamuda adalah pemegang berkepentingan di dalam Konsortium SRS yang menjadi Project Delivery Partner untuk PTMP) tidak tahu menahu tentang kenaikan tersebut.

“Kerajaan negeri perlu memberi penjelasan mengapa ada peningkatan sebanyak RM19 bilion daripada anggaran awal kos projek ini.

“Malah Pengerusi Dap Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada Julai lalu ada mengeluarkan kenyataan berkemungkinan kerajaan negeri akan mendapatkan pinjaman bank untuk membiayai sebahagian kos pembinaan PTMP.

“Jika ini berlaku maka ia akan memberi kesan serius kepada kewangan kerajaan negeri dan akan menyebabkan rakyat Pulau Pinang terpaksa menanggung hutang yang besar,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Zainal, selain daripada kos projek yang mengelirukan, kerajaan negeri juga perlu memperjelaskan bagaimana kontrak pembinaan boleh dianuegerahkan kepada kontraktor bertanggungjawab sebelum kajian kebolehlaksanaan dibuat.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang turut membidas rancangan kerajaan negeri untuk membina tiga pulau di selatan Pulau Pinang. Jelasnya, jika projek ini terlaksana maka Pulau Pinang akan menyaingi kepadatan penduduk Hong Kong, 17,000 orang berbanding 2,600 orang bagi setiap kilometer persegi pada masa ini.

“Sekarang inipun kita sudah mengalami masalah kepadatan dan jika projek ini jadi maka adakah kita bersedia dengan kepadatan yang meningkat sebanyak tujuh kali ganda. “Kerajaan Pulau Pinang seharusnya berfikir jauh dan jangan hanya memikirkan keuntungan sehingga rakyat akan hidup makin terhimpit.

“Sampai bila kerajaan negeri mahu mementingkan diri sendiri. Saya berharap kerajaan negeri akan menjawab segala isu yang dibangkitkan ini,” tegasnya.


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger