Headlines News :
Home » » BAJET LIM GUAN ENG DAP TAK MASUK AKAL

BAJET LIM GUAN ENG DAP TAK MASUK AKAL

PULAU PINANG, 16 Nov – Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya menyifatkan Bajet 2017 yang dibentangkan oleh kerajaan Pulau Pinang tidak munasabah apabila terdapatnya peningkatan secara mendadak bagi peruntukan tambahan sebanyak RM 707.61 juta kepada pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berbanding hanya RM161.59 pada 2016.


Menurut beliau, peruntukan kepada pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu merupakan jumlah tertinggi di dalam keseluruhan bajet tersebut dan ianya menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan rakyat, kenapa pejabat Ketua Menteri memerlukan peruntukan sebegitu besar yang meningkat lima kali ganda daripada peruntukan bajet pada tahun 2016 yang lalu.

 “Kita merasa sedikit pelik dan ajaib apabila melihatkan pejabat Ketua Menteri sendiri menerima bajet yang begitu besar sebanyak RM 707.61 juta, yang mana peruntukannya meningkat secara mendadak lima kali ganda berbanding tahun lalu.

“Bajet yang begitu besar yang diberikan kepada pejabat Ketua Menteri ini saya lihat tidak munasabah dan dibimbangi ianya boleh menjurus kepada salah guna kuasa memandangkan kelulusan untuk bajet tersebut di atas kuasa ketua Menteri itu sendiri.

“Peruntukan tambahan kepada pejabat Ketua Menteri yang melonjak begitu tinggi sebanyak RM 546.02 juta berbanding RM161.59 lebih sebelum ini memperlihatkan seolah-olah wujudnya agenda atau perancangan tertentu oleh kerajaan negeri, atau Ketua Menteri itu sendiri yang tidak diperjelaskan kepada rakyat di dalam pembentangan bajet tersebut.

 “Kenaikan peruntukan pejabat Ketua Menteri secara mendadak dan terlalu banyak itu juga merupakan satu petunjuk kepada kelemahan pengurusan perancangan kewangan kerajaan negeri sehingga terpaksa membuat tambahan peruntukan yang terlalu tidak munasabah,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

 Tambah beliau lagi, pembangkang sebelum ini telah mempertikaikan sedikit kenaikan dalam peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri di dalam Bajet 2017, namun kerajaan Dap Pulau Pinang sendiri telah memberikan sejumlah peruntukan yang begitu besar kepada pejabat Ketua Menteri itu sendiri melalui bajet 2017.

“Sikap pembangkang ini boleh kita umpamakan seperti pepatah Melayu, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Mereka sebelum ini mempertikaikan sedikit kenaikan peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri dalam bajet 2017 baru-baru ini, namun penambahan peruntukan yang diberikan kepada pejabat Ketua Menteri itu sendiri terlalu mendadak kenaikannya berbanding peruntukan tahun lalu.

“Penambahan peruntukan terhadap Pejabat Ketua Menteri yang naik mendadak berkali ganda itu dilihat tidak munasabah serta tidak berada pada kadar yang boleh diterima akal. Bahkan pembentangan bajet 2017 oleh kerajaan negeri yang merupakan bajet defisit selama tujuh tahun berturut-turut itu turut menggambarkan kegagalan kerajaan Dap dalam mengurus tadbir ekonomi negeri dengan lebih baik,” tegasnya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger