Malah, rakyat pastinya tidak dapat menerima tindakan bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan itu yang menyertai parti yang diasaskan oleh mereka yang terlibat dengan unsur kronisme dan nepotisme.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan Moha­mad Ezam itu namun tertanya-tanya mana prinsip perjuangannya dalam politik.
“Mohamad Ezam masuk UMNO selepas krisis dalam PKR pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan beliau lantang mengkritik Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas bekas Perdana Menteri itu keluar daripada UMNO.
“Tapi kini beliau boleh tinggalkan UMNO kononnya parti tersebut dicemari kelompok pemimpin yang teruja membangkitkan soal jawatan, habuan dan kebendaan untuk kepentingan peribadi,” katanya kepada pemberita selepas Program Merakyat­kan Perkeso sempena Karnival Hari Wanita Parlimen Kepala Batas di sini hari ini.
Menurut Reezal Merican, rak­yat tidak pelik sekiranya Moha­mad­ Ezam keluar daripada UMNO dan menubuhkan parti baharu namun sukar menerima apabila be­liau sanggup bersekongkol de­ngan Dr. Mahathir.
Jelasnya, sebelum ini ramai bekas pemimpin PKR yang menyertai UMNO dan mereka terus istiqamah dalam perjuangan biarpun tidak diberi jawatan.
“Kita lihat Lokman Noor Adam dan Ruslan Kassim tetap bersama UMNO selepas meninggalkan PKR biarpun mereka tiada jawatan besar berbanding Mohamad Ezam yang ada segala-galanya.
“Saya cuma boleh ucapkan semoga semuanya ‘baik’ buat Mohamad Ezam kerana beliau tinggalkan prinsip hanya kerana politik,” ujarnya.