Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, adalah jelas bahawa akta-akta seperti Akta Kesalahan Kese­lamatan (Langkah-Langkah Khas)(SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan rang un­dang-undang Majlis Keselamat­an Negara (MKN) yang digubal ke­rajaan sebelum ini amat penting.

Tegas beliau, semua undang-un­dang dan akta terbabit yang sebelum ini mengundang pelbagai bantahan serta pertikaian pelbagai pihak terutama parti pembangkang adalah bertujuan untuk menjaga ke­selamatan dan kedaulatan negara secara keseluruhan.

“Amat jelas apa yang berlaku ini adalah satu manifestasi penting untuk kita menilai betapa perlunya undang-undang seperti SOSMA, POTA dan MKN.

“Ramai yang membantah ter­uta­manya undang-undang MKN yang setiap kali dibentangkan di Par­limen pasti mengundang bantahan pelbagai pihak. Bayangkan bagaimana mereka yang terlibat ini menanti untuk membuat serangan termasuk ke atas negara kita andai semua undang-undang ini tiada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejayaan polis mematahkan cubaan serangan berani mati di negara ini yang diarahkan oleh kumpulan mi­litan Negara Islam (IS) dengan tertangkapnya seorang suspek di ibu negara kelmarin.
Terdahulu, Reezal Merican me­ras­mikan majlis pecah tanah projek meroboh dan membina semula Masjid JamekPenaga.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, kesungguh­an Malaysia menentang penularan fahaman radikal dan gerakan ekstremis di negara ini adalah kerana fahaman terbabit mampu merosakkan negara.
Kata beliau, Malaysia mengamal­kan pendekatan wasatiyah dan run­dingan secara aman damai da­lam se­mua aspek dan disebabkan itu kerajaan serius mengekang segala bentuk ancaman yang boleh menggugat kestabilan negara.