Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, perbincangan itu perlu dan penting agar masalah yang berbangkit akibat aktiviti tambak laut dapat dilihat secara holistik.

Malah, katanya, kerajaan negeri terbabit perlu mengemukakan permohonan kerja-kerja pembangunan sebelum menjalankan sebarang projek.

“Perkara ini merupakan isu besar dan bukanlah isu baharu, mereka sepatutnya mengadakan perbincangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang agar semua pihak mendapat maklumat yang tepat dan tidak berselindung mengenai apa-apa maklumat berkaitan projek tambak laut ini.

“Saya difahamkan kebanyakan NGO di Pulau Pinang merupakan kumpulan yang aktif, berpengaruh dan lantang menyuarakan sebarang pendapat berhubung segala hal ehwal negeri. Jadi segala pandangan mereka boleh diguna pakai oleh DAP sebelum membuat sebarang keputusan.

“Hormatilah pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan membuta tuli, semata-mata ingin mengikut telunjuk dan cadangan ahli-ahli perniagaan serta pemaju yang hanya mementingkan keuntungan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas lanjut mengenai kenyataannya semalam bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang boleh dikenakan tindakan kerana meluluskan lebih 2,428 hektar untuk aktiviti tambak laut kepada sebuah syarikat pemaju di negeri tersebut baru-baru ini.

Semalam, Abdul Rahman berkata, kelulusan itu melanggar ketetapan dibuat MPFN berkaitan aktiviti tambak laut.
Menurut beliau, sebarang projek tambak laut melebihi 100 hektar atau melibatkan 10,000 orang seharusnya dikemukakan kepada majlis itu terlebih dahulu untuk diluluskan.

Kata Abdul Rahman, pihaknya bimbang jika isu berkaitan aktiviti tambak laut tersebut tidak diselesaikan dengan baik bersama pihak berwajib, rakyat Pulau Pinang akan menerima kesan negatif disebabkan kedegilan dan keangkuhan kerajaan negeri itu.

“Isu ini jelas akan memberi kesan negatif untuk jangka masa panjang terutamanya kepada rakyat di Pulau Pinang, dia (Ketua Menteri, Lim Guan Eng) perlu faham akan masalah ini. Jangan anggap semua rakyat ini mudah ditipu dengan permainan politiknya sehingga sanggup membuat keputusan tanpa memikirkan kebaikan demi rakyat.

“Sebelum ini, Guan Eng pernah berjanji akan menyelesaikan pelbagai isu di Pulau Pinang antaranya berkaitan isu tambak laut, kerosakan alam sekitar, pembangunan di lereng-lereng bukit dan sebagainya, namun selepas menjadi Ketua Menteri, semua masalah yang dijanjikan bukan diselesaikan sebaliknya kian berleluasa pula,” katanya.