Mereka yang berkumpul sejak malam tadi sehingga awal pagi ini, turut menutup laluan masuk ke kampung itu menggunakan bas, kereta dan tiang konkrit bagi menghalang kemungkinan kereta jentolak masuk dan merobohkan rumah mereka.

Tindakan itu terpaksa diambil selepas notis pengusiran mereka dari kampung berkenaan yang diperoleh tuan tanah daripada mahkamah berakhir hari ini.

Walau bagaimanapun, penduduk yang sudah mendiami kampung berkenaan lebih 50 tahun lalu enggan berpindah selepas tidak mendapat pembelaan sewajarnya selain tidak mempunyai hala tuju.
Sehingga pukul 10 pagi ini, keadaan masih terkawal dan tiada kelibat jentolak kelihatan menghampiri kawasan kampung terbabit.

Selain itu, Utusan Malaysia difahamkan peguam yang mewakili penduduk sedang berurusan dengan mahkamah bagi mendapatkan tempoh lanjutan pengosongan rumah sekali gus mencari penyelesaian terbaik untuk penduduk dan pemilik tanah. - UTUSAN ONLINE