Headlines News :
Home » » PENGUNDI JANGAN TAKUT BUAT PERUBAHAN #PRKPermatangPauh - Zahid

PENGUNDI JANGAN TAKUT BUAT PERUBAHAN #PRKPermatangPauh - Zahid




BUKIT MERTAJAM - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan pengundi Parlimen Permatang Pauh supaya tidak takut untuk membuat perubahan pada PRK kawasan itu kali ini.

Pengarah Bersama BN bagi PRK Permatang Pauh itu berkata, ini adalah masa untuk pengundi Permatang Pauh memberi peluang kepada BN untuk membawa perubahan di kawasan itu selepas 17 tahun di bawah PKR.

Beliau berkata, calon BN Suhaimi Sabudin perlu diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya dan melakar sejarah baharu di Permatang Pauh dalam tempoh tiga tahun sebelum menjelang PRU14.

"Kalau Suhaimi tidak 'perform' dalam tempoh tiga tahun ini, boleh tukar balik. Saya yakin Suhaimi ini orang baik. Beliau akan melaksanakan tanggungjawabnya kepada pengundi di Permatang Pauh.

"Saya yakin beliau akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk di sini," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan penyampaian pingat kepada veteran ATM anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Persatuan Veteran ATM bersama Veteran ATM Permatang Pauh, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jika pengundi memberi peluang kepada Suhaimi untuk menjadi wakil rakyat di Permatang Pauh, beliau akan memastikan peruntukan lebih untuk pembangunan kawasan itu meliputi Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.

"Contohnya di Parlimen Teluk Intan, selepas sembilan bulan BN memenangi pilihan raya kecil kawasan itu, pelbagai projek pembangunan dibawa masuk ke Teluk Intan," katanya.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 36 anggota Veteran ATM cawangan Permatang Pauh.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon ahli Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekaligus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger