Gelugor – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan dakwaannya mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disifatkan sebagai parti milik keluarga.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah yang kembali menawarkan diri menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh.
“PKR ni, saya dah kata banyak kali, ini parti milik keluarga berkenaan,” katanya ketika sidang media sejurus selepas program “Cakna Ilmu: Mendepani Pemikiran Tun M” di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang hari ini.
Dr Mahathir ketika mengulas lanjut turut berkata berkata, beliau tidak akan membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh.
“Tidak (pergi). Tak payahlah,” katanya di dalam sidang media yang sama.
Menurut Dr Mahathir, beliau tidak mengenali calon BN itu namun berharap agar Suhaimi Sabudin merupakan calon yang tepat buat BN.
“Saya tak kenal dia. Saya harap dia orang yang baik,” katanya ketika sidang media sejurus selepas program “Cakna Ilmu: Mendepani Pemikiran Tun M” di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang hari ini.
Suhaimi, 43, berdepan saingan sengit menentang calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh yang jatuh pada 7 Mei ini.
Dua lagi calon, Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas Salleh Isahak, turut bertanding menjadikan PRK ini satu pertandingan empat penjuru.
PRK Permatang Pauh diadakan selepas penyandang, Anwar, hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen apabila dihukum penjara lima tahun dan permohonan pengampunannya ditolak Lembaga Pengampunan.
Pada 10 Februari lalu, beliau disabitkan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan kerana meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008.
Post a Comment