PERMATANG PAUH - Biar siapa pun menjadi calon PKR di PRK Permatang Pauh, ia bukan menjadi halangan kepada BN untuk mendapatkan kepercayaan rakyat mengundi mereka kali ini.
Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, Umno bahagian itu telah lama bersedia menghadapi PRK Permatang Pauh selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tahun lalu.
“Bagi kami bukan soal calon mereka, tetapi bagaimana bakti, sumbangan dan strategi kami di hakimi rakyat Permatang Pauh.
“Umno Permatang Pauh telah membuktikan keikhlasan dan kesungguhan membantu rakyat tanpa lelah sejak dua tahun terakhir ini,” katanya kepada Sinar Online semalam.
Ditanya mengenai calon, beliau enggan mengulas lebih lanjut, bagaimanapun katanya, Umno akan menampilkan anak tempatan yang sudah serasi dengan Permatang Pauh.
“Nama calon kami telah kemukakan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diperhalusi.
“Kita tunggu 23 April nanti, tengok siapa yang akan diumumkan sebagai calon kita,” katanya dalam nada bersahaja.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh dikosongkan selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja dipohon Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat.
Yang di-Pertuan Agong telah menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu. Oleh yang demikian, Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen berdasarkan Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Post a Comment