Headlines News :
Home » » UMNO LETAK CALON BN TERBAIK PRK PERMATANG PAUH @dzainalabidin @dzaidisaid

UMNO LETAK CALON BN TERBAIK PRK PERMATANG PAUH @dzainalabidin @dzaidisaid




NIBONG TEBAL - Umno Pulau Pinang memberi jaminan bahawa Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon terbaik pada PRK Permatang Pauh.

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, BN akan meletakkan calon yang dapat melaksanakan tugas, dan terpulang kepada pengundi Permatang Pauh sama ada memilih calon yang dapat memenuhi kebajikan mereka atau calon yang hanya memenuhi kehendak emosi.
    "Pengundi akan menentukan sama ada mereka mahu orang tempatan yang duduk di Permatang Pauh sepanjang masa untuk berkhidmat atau orang yang sekali sekala balik hanya untuk mengucapkan 'hello' kepada rakyat...itu pilihan mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gerakan Peningkatan Produktiviti peringkat negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.
    
Sambil menyifatkan pilihan raya kecil itu sebagai  pertarungan berat, beliau yakin BN akan memberi tentangan hebat pada pilihan raya kecil kali ini.
    
Kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytiharkan kosong berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli parlimen pada 16 Mac lepas setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon melalui keluarganya pada 24 Februari lepas.  
    
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
    
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berhubung pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada Rabu ini.
    
Pada Pilihan Raya Umum 2013, Anwar mengekalkan kubu kuat PKR itu apabila menewaskan calon BN Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.
    
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, sudah tiba masanya untuk pemimpin dan penyokong Pas di negeri ini menilai semula jalinan kerjasama antara parti itu dengan rakan sekutunya, DAP dan PKR, yang disifatkan sebagai tidak ikhlas dalam 'berkawan'.

Beliau berkata, Umno Pulau Pinang bersedia menjalinkan sebarang kerjasama dengan Pas negeri terutamanya membabitkan kepentingan umat Islam di negeri ini. - Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger