Headlines News :
Home » » PKR NAFI PERSELISIHAN , PAS AKAN BANTU PRK PERMATANG PAUH - AFIF

PKR NAFI PERSELISIHAN , PAS AKAN BANTU PRK PERMATANG PAUH - AFIF




BUTTERWORTH - PKR menafikan berlaku perselisihan dengan Pas berikutan timbul spekulasi bahawa Pas Pulau Pinang enggan melibatkan diri untuk membantu PKR dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh yang akan datang.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin berkata, tidak ada masalah dalam gabungan pakatan memandangkan ketiga-tiga parti, PKR, DAP dan Pas sudah bersetuju membentuk sekretariat untuk PRK berkenaan.

"Satu sekretariat sudah ditubuhkan di kalangan parti gabungan pakatan dan saya tidak melihat perpecahan di antara kami," katanya kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat AMK negeri di sini, hari ini.
    
Beliau berkata, timbalan pesuruhjaya II Pas Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man turut menyatakan komitmen terhadap gabungan bagi memastikan calon PKR dapat mempertahankan kerusi Permatang Pauh.

"Kami semua dalam keadaan baik dan tidak ada isu berbangkit antara kami.

Kami berganding bahu meneruskan perjuangan untuk membela hak rakyat," katanya.
   
Semasa ditanya mengenai penamaan calon PKR, Dr Afif yang merupakan Adun Seberang Jaya berkata mereka menunggu sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pencalonan dan hari pengundian.

Sebuah portal berita melaporkan seorang pemimpin Pas Pulau Pinang yang enggan memberikan namanya berkata Pas tidak mahu dipergunakan untuk mencapai agenda politik PKR.

Pemimpin Pas itu juga berkata, terdapat kemungkinan parti itu meletakkan calonnya di PRK Permatang Pauh sebagai tindakan balas dendam terhadap DAP dan PKR yang berpakat menentangnya dalam isu hudud.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytiharkan kosong berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakannya sebagai ahli parlimen selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon oleh keluarga ketua pembangkang itu terhadap sabitan bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.   

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas Rabu ini bagi membincangkan PRK Permatang Pauh.

Pada Pilihan Raya Umum 2013 Anwar mengekalkan kerusi Permatang Pauh dengan mengalahkan calon Barisan Naisonal Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi. - Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger