Headlines News :
Home » » PENYOKONG ANWAR PERLU HORMATI KEPUTUSAN MAHKAMAH - ZAIDI

PENYOKONG ANWAR PERLU HORMATI KEPUTUSAN MAHKAMAH - ZAIDI



Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said menggesa seluruh rakyat khususnya para penyokong Pakatan Rakyat (PR) menerima keputusan yang diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan semalam terhadap kes melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Merujuk kepada laporan, Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan Anwar berhubung kes liwat II terhadap bekas pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008 dan disabitkan dengan kesalahan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun berkuatkuasa semalam.

Mengulas mengenai keputusan tersebut, Mohd Zaidi berkata, apa yang telah diputuskan oleh mahkamah perlu diterima dan dihormati oleh semua pihak terutamanya para penyokong Anwar kerana mahkamah mengambil masa yang terlalu lama sebelum keputusan tersebut diputuskan.

Mohd Zaidi berkata, tuduhan yang mengaitkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) atau UMNO terlibat dalam menentukan hukuman terhadap Anwar adalah satu perkara yang tidak benar sama sekali kerana hakim pasti akan membuat satu penilaian yang sedalam-dalamnya sebelum menjatuh sebarang hukuman bagi memastikan badan kehakiman sentiasa telus dan adil.

“Bagi saya, keadilan adalah soal yg terlalu subjektif dan kita sebagai insan yang waras sudah semestinya mempunyai naluri dalam sesuatu hal yang berlaku.

“Keputusan hakim perlu kita hormati dalam mempastikan keadilan dan keluhuran undang-undang dipertahankan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, walupun keputusan tersebut sukar diterima oleh ahli keluarga serta para penyokong Anwar, beliau berharap perkara tersebut tidak akan menjadi ‘penyebab’ berlakunya sebarang rusuhan yang mampu memporak perandakan keamanan negara ketika ini.

Sementara itu, beliau turut meluahkan rasa simpati terhadap keluarga Anwar dan berharap ahli keluarganya terutamanya isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tabah menerima dugaan tersebut.

“Apapun sebagai insan yang ada isteri dan anak, saya amat bersimpati dengan seluruh keluarga Anwar. Saya berdoa semoga mereka tabah menghadapi saat yg amat sukar ini.

“Saya juga berharap semua pihak menerima keputusan tersebut dengan jiwa yang besar,” jelas Mohd Zaidi lagi. –UtaraNews.com/Mohd Shahir Shukor
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger