Headlines News :
Home » » PBA TETAP KEPUTUSAN TAK TANGGUNG CAJ 90 SEN BAYAR BIL

PBA TETAP KEPUTUSAN TAK TANGGUNG CAJ 90 SEN BAYAR BIL




GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak akan memberikan subsidi yuran perkhidmatan sebanyak 90 sen yang dikenakan Pos Malaysia kepada pelanggan yang membayar bil air di pejabat pos.

Pengarah PBAPP, Lim Hock Seng berkata perbadanan itu mengekalkan tarif air yang paling rendah di Malaysia untuk kegunaan domestik sehingga 35,000 liter sebulan, untuk kebaikan semua penduduk di Pulau Pinang. 

Beliau berkata, pengekalan tarif domestik terendah di negara ini memerlukan subsidi dan pada tahun lepas, subsidi PBAPP untuk air domestik berjumlah RM67.5 juta.

"Walaupun kami meneruskan untuk menyediakan subsidi yang besar untuk manfaat pengguna domestik Pulau Pinang, PBAPP tidak lagi memberi 'subsidi berganda' kepada pengguna yang ingin membayar bil air mereka di pejabat pos," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lim berkata, pada mulanya, Pos Malaysia mahu mengenakan bayaran yuran perkhidmatan sebanyak RM1.50 bagi setiap bil tetapi PBAPP menolak cadangan itu dua tahun lepas.

"Kami berjaya berunding dengan Pos Malaysia bagi mengurangkan bayaran yuran perkhidmatan itu dan kami telah memberikan subsidi untuk dua tahun lepas sebelum ia dikenakan kepada pelanggan bermula 1 Januari tahun ini," katanya.

Lim berkata, pelanggan yang ingin mengelak daripada dikenakan yuran perkhidmatan boleh membayar bil mereka di PBAPP atau Tenaga Nasional Bhd, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai dan pusat perkhidmatan Telekom Malaysia.

"Bagi pilihan lain, anda boleh menjelaskan bil menerusi perbankan internet dengan menggunakan kemudahan pembayaran 'PBAPP Online' dan 'PBAPP Prepaid',"  katanya. 

Beliau berkata, kemudahan itu membolehkan pelanggan membayar melebihi jumlah yang dikenakan ke atas bil mereka dan kredit tambahan akan didebitkan secara  automatik pada bil air seterusnya. - Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger