KENYATAAN MEDIA GPMS NEGERI PULAU PINANG BERKAITAN KENYATAAN YB CHONG ENG
Assalamualaikum & Salam sejahtera
Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh YB Chong Eng, Exco Kerajaan Negeri P.Pinang yang juga merupakan pimpinan DAP, GPMS Negeri P.Pinang mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tersebut dan menyifatkan kenyataan beliau itu sebagai biadap, rasis, provokatif dan sengaja mahu membangkitkan kemarahan ummat Islam di Malaysia.
Sebagai seorang bukan Islam, beliau tidak layak untuk berhujah atau memberi kenyataan tentang hukum-hakam Islam apatah lagi untuk mengkritik secara terbuka Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan mencapuri urusan agama Islam dengan mengkritik kandungan bacaan khutbah di dalam solat Jumaat.
GPMS P.Pinang ingin mengingatkan beliau, buat masa ini tahap kesabaran ummat Islam sudah sampai ke kemuncak dan kenyataan ini telah membangkitkan lagi kemarahan di kalangan ummat Islam di negara ini. Kenyataan sebegini sebenarnya telah memarakkan lagi api perkauman yang telah dinyalakan oleh pemimpin-pemimpin DAP yang lain sebelum ini.
Orang Melayu diajar untuk bersopan-santun, berbudi bahasa dan menghormati budaya & agama kaum-kaum lain. Oleh sebab itu, kita tidak pernah mempertikaikan atau mempersenda amalan-amalan adat resam atau keagamaan yang dilakukan oleh kalangan bukan Islam. Pada masa yang sama juga ajaran Islam menuntut penganutnya untuk bersabar. Namun kesabaran kami ada had dan batasnya.
GPMS Negeri P.Pinang melihat sejak kebelangan ini terlalu banyak kenyataan provokatif dan berniat jahat yang menghina, memperlekehkan dan mempersenda Islam dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin dan individu bukan Islam sedangkan selama ini tiada satupun kenyataan daripada pemimpin Islam yang mempersenda penganut agama lain.
Justeru, GPMS Negeri P.Pinang ingin memberi amaran keras kepada YB Chong Eng dan sesiapa sahaja supaya tidak berterusan mengeluarkan kenyataan provokatif ke atas penganut agama Islam ataupun amalan dalam ajaran Islam. Kita juga ingin mengingatkan mereka supaya tidak celupar dan menjaga mulut serta tuturkata apabila membuat sebarang kenyataan. Jangan jadikan tindakan "menghentam Islam" sebagai jalan mudah untuk meningkatkan populariti politik atau untuk menunjuk "hero". Kita tidak mahu berlaku seperti pepatah, "kerana mulut badan binasa".
Sekian, terima kasih.
AZDY BIN MOHD ARSHAD
Pengerusi Biro Agama
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Pulau Pinang
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Pulau Pinang
9 Februari 2015
Post a Comment