Muhyiddin pada masa yang sama turut mempersoalkan kemampuan kebanyakan kerajaan tempatan yang kini mendapat bantuan daripada Kerajaan Persekutuan memperoleh sumber kewangan baharu melalui autonomi kewangan selepas mengadakan pilihan raya PBT.

“Adakah DAP mencadangkan (pilihan raya PBT) supaya kuasa diberi kepada kerajaan tempatan dan jika tiada sumber kewangan, mereka mahu naikkan cukai? Perkara ini perlu dijawab oleh mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai isu Cameron Highlands di sini hari ini.

Beliau mengulas isu pilihan raya PBT yang sekali lagi mewujudkan perbezaan pendapat yang ketara antara dua parti pembangkang iaitu DAP dan Pas.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din menyatakan pelaksanaan pilihan raya PBT tidak menyumbang ke arah usaha keharmonian politik sementara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat pelaksanaan pilihan raya itu boleh melebarkan jurang masyarakat serta menimbulkan kebimbangan peristiwa 13 Mei 1969 berulang.

Mengenai komen sesetengah pihak termasuk Abdul Hadi yang mengaitkan niat DAP mengadakan pilihan raya PBT dengan faktor kaum, Muhyiddin berkata, pilihan raya tersebut jika diadakan akan membawa pelbagai implikasi.

“Sesetengah mungkin melihat dari segi kaum kerana kawasan bandar mempunyai majoriti penduduk bukan bumiputera jadi dikhuatiri tiada perimbangan antara perwakilan,” katanya.