Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, tindakan Guang Eng yang menuding jari kepada pihak lain berhubung isu itu tidak boleh diterima kerana kontroversi tersebut dicetuskan PCCC dan isteri beliau sendiri.
Menurut beliau, sekiranya media arus perdana tidak membangkitkan isu pelantikan Betty itu sekali pun, mana-mana pihak akan tetap mengaitkannya dengan Guan Eng memandangkan hubungan rapat beliau de­ngan PCCC.
“Kenapa perlu menyalahkan media arus perdana atau Barisan Nasional (BN) dalam isu yang dicetuskan sendiri isteri beliau dan PCCC yang merupakan sekutu kuat kerajaan negeri?
“Sama ada Guan Eng, Betty atau PCCC sendiri pasti menyedari isu ini akan menarik perhatian rakyat kerana sangat mencurigakan tanpa perlu dibangkitkan tidak kira oleh media yang disifatkan mereka prokerajaan atau propembangkang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Guan Eng sebelum ini ditempelak banyak pihak berikutan tindakannya menyalahkan BN dan media arus perdana yang disifatkan beliau kononnya prokerajaan kerana mensensasikan pelantikan Betty sebagai Ketua Majlis Pembangunan, Pembinaan dan Pengurusan Hartanah dalam PCCC.
Sedangkan pertikaian mengenai pelantikan itu banyak didedahkan portal propembangkang dan media Cina yang mempersoal kewajarannya kerana status Betty sebagai isteri kepada Guan Eng yang juga Pengerusi Hal Ehwal Tanah dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan negeri.
Malah, pelantikan Betty itu juga menimbulkan tanda tanya memandangkan kerajaan negeri difahamkan mempunyai hubungan rapat dengan PCCC yang dipengerusikan Tan Sri Tan Kok Ping.
Kok Ping sebelum ini pernah didenda sebanyak RM30,000 oleh mahkamah selepas syarikatnya, General Accomplishment Sdn. Bhd., didapati bersalah kerana menjalankan kerja tanah di puncak Bukit Relau atau lebih dikenali sebagai Bukit Botak tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).