PULAU PINANG 10 Feb. - Di sebalik pelbagai pendedahan berhubung pencemaran air laut di Pantai Batu Ferringhi dekat sini, Kerajaan DAP Pulau Pinang tetap berkeras enggan mengambil tindakan menutup kawasan pelancongan itu kepada pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, kerajaan negeri setakat ini tidak menerima cadangan atau arahan daripada mana-mana pihak termasuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya kawasan pantai itu ditutup.
Menurutnya, ketika ini kandungan bahan tercemar Feacal coliform dan Escherichia coli (E.coli) dalam sampel air Sungai Batu Ferringhi dan air laut di kawasan itu sudah semakin berkurangan berbanding bacaan awal kira-kira seminggu lalu.
Kita sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Pusat dan JAS dalam memantau pencemaran di sekitar kawasan Batu Ferringhi.
Sekiranya pencemaran itu di luar kawalan, sudah pasti JAS mengeluarkan arahan kepada kita supaya pusat pelancongan ini ditutup," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Akhbar sejak beberapa hari lalu melaporkan sebahagian air laut di Pantai Batu Ferringhi yang terkenal sebagai lokasi pelancongan di negeri ini bertukar hitam dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan yang mengalir dari Sungai Batu Ferringhi.
Ekoran itu, pelbagai pihak mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil langkah drastik mengatasi masalah pencemaran berkenaan memandangkan kawasan itu merupakan tumpuan pelancong.
Malah, beberapa pihak juga mendesak kawasan Pantai Batu Ferringhi ditutup kepada pelancong memandangkan bacaan bahan tercemar E.coli dan Feacal coliform di kawasan itu pernah direkodkan melebihi had piawaian yang ditetapkan bagi kawasan rekreasi atau pantai peranginan.
Sebelum ini Ketua Pengarah JAS, Datuk Halimah Hassan menegaskan, Kerajaan DAP Pulau Pinang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap usaha-usaha pembersihan dan pencegahan pencemaran air sungai dan laut di sepanjang perairan negeri ini termasuk menutup kawasan Pantai Batu Ferringhi kepada pelancong.
Tambah beliau, JAS hanya bertanggungjawab melakukan kajian terhadap sampel air di sungai itu serta di perairan Batu Ferringhi dan laporan mengenainya akan diserah kan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.
Post a Comment