Menurutnya, tindakan media yang hanya memetik se­bahagian ucapannya menyebabkan berlaku salah faham sehingga ter­cetusnya polemik perkaum­an se­dangkan be­liau menggunakan perkataan ‘kadang-ka­dang’ yang mem­bawa maksud hanya segelintir ahli perniagaan Cina terlibat.

“Saya menggunakan perkataan 'kadang-kadang' yang merujuk segelintir ahli perniagaan yang mengaut keuntungan hasil perniagaan haram dalam maksiat dan perjudian namun disalah tafsir oleh sebahagian media.

“Saya juga menekankan penguatkuasaan yang lemah dari pihak polis, imigresen, pihak berkuasa agama dan pihak berkuasa tempatan menjadikan aktiviti itu berkembang di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, perkara itu menyebabkan timbul kritikan terhadapnya termasuk dari komponen Barisan Nasional (BN) dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mendakwa beliau berbohong.

Jelasnya, Guan Eng juga telah mencabarnya untuk menunjukkan lima lokasi perjudian dan maksiat yang didakwa masih berlaku di Pulau Pinang.
“Saya sedia menyahut seruan Guan Eng dan akan tampil dengan bukti lima kawasan yang masih berlaku kegiatan perjudian dan maksiat sebelum penghujung Disember.

“Saya juga ingin mencabar Guan Eng meletakkan jawatannya sebagai Ketua Menteri dan serahkan tugas kepada pemimpin DAP tempatan sekiranya saya berjaya tampil dengan bukti itu,” ujarnya.