Kenyataan Media
YBhg Dato ' Zainal Abidin Osman
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang
Khamis 22 Mei 2014
Demo di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Rabu, 21 Mei 2014
1. UMNO Pulau Pinang berasa kesal dengan insiden pencerobohan yang berlaku di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam. UMNO Pulau Pinang tidak bersetuju dengan pencerobohan dan tindakan merempuh pagar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang dilakukan oleh beberapa peserta demonstrasi semalam.
2. Namun begitu UMNO Pulau Pinang menyokong penuh demonstrasi yang diadakan untuk membantah ucapan YB Adun Seri Delima RSN Rayer yang mengucapkan 'Celaka Celaka Celaka UMNO', kata-kata kesat dan sangat menyakitkan hati ahli-ahli UMNO.
3. UMNO Pulau Pinang menafikan tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang yang menyatakan UMNO gagal mengawal ahli-ahlinya. Perbuatan merempuh pagar dan memasuki kawasan DUN yang berlaku adalah kerana perasaan marah yang teramat sangat atas keceluparan mulut dan kata-kata biadap oleh YB Adun Seri Delima yang bertujuan membuat provokasi melampau membangkitkan kemarahan ahli-ahli UMNO dengan sengaja.
4. YB Adun Seri Delima RSN Rayer perlu sedar bahawa setiap tindakan biadab dan kurang ajar yang dilakukan beliau akan mengundang tindak balas pihak yang dicerca. Beliau tidak sepatutnya menggunakan kesempatan dan ruang berbahas di Sidang Dewan untuk mengeluarkan kata-kata kesat dengan niat untuk menyinggung mana-mana pihak.
5. UMNO Pulau Pinang sekeras-kerasnya menuntut dan meminta YB Seri Delima RSN Rayer untuk memohon maaf kepada semua ahli-ahli UMNO di atas ucapan 'Celaka Celaka Celaka UMNO' kerana ucapan beliau tersebut adalah penyebab utama kepada berlakunya insiden di DUN Pulau Pinang semalam.
6. Insiden yang berlaku semalam boleh dielakkan sekiranya YB Adun Seri Delima RSN Rayer memohon maaf dan menarik balik ucapan yang dibuat beliau Isnin lalu.Umno ppinang sangat kesal hingga kini beliau masih berdegil dan enggan memohon maaf.
7. UMNO Pulau Pinang maklum keputusan 10 YB Adun BN/UMNO untuk tidak menyokong usul yang dibawa Ketua Menteri adalah kerana permintaan mereka untuk memasukkan perengan meminta permohonan maaf daripada YB Seri Delima ditolak oleh pencadang usul.
Terima kasih.
Post a Comment