Headlines News :
Home » » KERAJAAN DAP DIGESA CARI ALTERNATIF LAIN , BUKAN HANYA NAIK TARIF AIR - HILMI @dzainalabidin

KERAJAAN DAP DIGESA CARI ALTERNATIF LAIN , BUKAN HANYA NAIK TARIF AIR - HILMI @dzainalabidin


Kerajaan negeri Pulau Pinang digesa mencari alternatif lain bagi mendidik masyarakat menggunakan air secara berhemat selain cadangan menaikkan tarif air di negeri itu.
Bekas Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Seri Dr Hilmi Yahya (gambar) berkata sebenarnya kempen penjimatan air perlu terus disebarkan supaya masyarakat lebih peka dengan penggunaan air melebihi keperluan bagi meningkatkan kesedaran pengguna.
"Kita kena fikirkan semua pihak dan buat kajian secara teliti sebelum ambil tindakan untuk naik tarif air di Pulau Pinang, saya percaya masyarakat luar bandar akan terjejas dengan kenaikan tarif air ini kerana mereka mempunyai keluarga besar dan pendapatan sederhana.
Kadar air yang digunakan oleh mereka juga adalah lebih banyak berbanding orang bandar yang secara puratanya menghabiskan masa lapan hingga 12 jam di tempat kerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus fisioterapi nutrisi atlet, di George Town hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar pada Rabu lepas mengenai Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri telah memberi kebenaran kepada PBAPP untuk menjalankan kajian kenaikan tarif air sebagai langkah terakhir bagi mengurangkan penggunaan air di Pulau Pinang yang mencatatkan kadar tertinggi di Malaysia.
Lim yang juga pengerusi PBAPP berkata sekiranya tarif air di negeri ini dinaikkan, kadarnya masih merupakan yang terendah berbanding di negeri lain, iaitu RM0.31 bagi setiap 1,000 liter padu untuk 35,000 liter pertama.
Menurutnya langkah pendidikan dan surcaj penjimatan air yang dikenakan sebagai pengajaran ke atas pengguna sebelum ini gagal membendung sikap pembaziran air di negeri ini.
Sementara itu, Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata kerajaan negeri juga perlu memikirkan jalan untuk mengurangkan air tidak berhasil (NRW) yang dicatatkan sebanyak 20% kini.
Katanya peratusan itu mampu dikurangkan lagi sekiranya ada gerakan positif bagi mengawal jumlah kehilangan air sebelum sampai kepada pengguna.
"Sekiranya perkara itu mampu diurus dengan baik, ia bukan sahaja dapat meringankan beban pengguna malah dapat memberi keuntungan kepada kerajaan negeri," katanya. - Bernama, 5 April, 2014.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger