Kerajaan bersetuju untuk menamakan Jambatan Kedua Pulau Pinang sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
"Kalau ada sebuah jambatan yang begini hebat dan orang akan sebut Jambatan Pulau Pinang Kedua, ia tak ada 'umph', tak signifikan...
"Semoga terbinanya jambatan ini dan dengan nama (Yang di-Pertuan Agong), Insya-Allah akan kekal abadi secara berpanjangan dalam lipatan sejarah Malaysia," katanya semasa berucap merasmikan jambatan itu di George Town.
Sambil menyifatkannya sebagai detik yang amat bersejarah dan penting dalam perjalanan negara, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa pengguna jambatan itu tidak akan dikenakan tol selama sebulan.
Najib yang juga menteri kewangan berkata jambatan itu bukan sahaja mercu tanda baharu negara tetapi juga mencetuskan pemangkin kepada proses pembangunan dan kerancakan ekonomi Pulau Pinang dan koridor utara.
Menurutnya laluan selatan dipilih bagi pembinaan jambatan kedua itu bagi membangunkan sekitar kawasan Nibong Tebal, Batu Kawan di bahagian seberang dan Balik Pulau di bahagian pulau serta limpahannya turut dapat dirasai oleh Kedah, Perlis dan utara Perak.
"Projek ini dicadangkan oleh (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) pada 1995 dan apabila Tun Abdullah (Ahmad Badawi) menjadi perdana menteri, beliau mempunyai dua pilihan laluan iaitu utara dan selatan, dan beliau membuat keputusan memilih cadangan laluan selatan," katanya.
Najib berkata walaupun berlaku peralihan kuasa pemerintahan di Pulau Pinang pada 2008, tetapi projek itu diteruskan kerana ia adalah untuk manfaat rakyat Pulau Pinang.
"...inilah semangat yang perlu kita pupuk, perlu ada cita-cita besar kepada Malaysia. Oleh itu, adalah penting walau apa pun fahaman politik kita, kita perlu utamakan pembangunan negara," kata Perdana Menteri.
Sebelum itu, perdana menteri yang diiringinya isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tiba kira-kira jam 8.30 malam untuk merasmikan jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu, dengan disaksikan lebih 10,000 orang.
Turut mengiringi Najib ialah Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Acara bersejarah penuh warna-warni itu turut disaksikan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeane Abdullah, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S Samy Vellu serta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak berkuasa Pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq dan barisan exco kerajaan negeri.-Bernama.
Bracelet Gold 916 – Beauty and Durability Combined
-
Gold jewelry has always held a special place in the hearts of many, and
bracelet gold 916 is no exception. Combining timeless elegance with
exceptional d...
19 hours ago
Post a Comment