Headlines News :
Home » » UMNO AKAN TERUS PERTAHAN KESUCIAN ISLAM & KALIMAH ALLAH

UMNO AKAN TERUS PERTAHAN KESUCIAN ISLAM & KALIMAH ALLAH



KUALA LUMPUR 24 Jan. - Penyelesaian 10 Perkara termasuk dalam isu kalimah Allah yang dipersetujui kerajaan Pusat dengan kumpulan-kumpulan Kristian pada 2011 tertakluk kepada undang-undang Persekutuan dan enakmen di setiap negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menegaskan perkara itu berkata, jika negeri terbabit mempunyai enakmen tersendiri maka semua pihak wajib menghormati undang-undang negeri berkenaan.

Pada masa sama, beliau yang juga Presiden UMNO berkata, parti itu berikrar akan terus menyokong segala usaha kerajaan bagi mempertahankan kesucian serta kemuliaan agama Islam termasuk kalimah Allah.

"Jika negeri berkenaan ada enakmen maka tertakluk pada enakmen negeri. Jika tiada seperti Sabah dan Sarawak amalan biasa boleh diteruskan. Tiada pihak yang harus menakutkan mana-mana pihak," tegas Najib.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang turut dihadiri Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh kepimpinan parti di sini hari ini.

Sebelum ini pihak Gereja Katolik bertegas tetap menggunakan kalimah Allah bagi Bible berbahasa Melayu dengan menggunakan alasan Penyelesaian 10 Perkara.

Resolusi 10 perkara telah dibuat kerajaan antaranya membenarkan masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak terus menggunakan alkitab (Bible) versi bahasa Melayu mereka.
Walau bagaimanapun, Perkara ke-9 dalam resolusi itu juga ada mengatakan secara spesifik bahawa ia tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan enakmen negeri.

Ditanya mengenai tindakan pihak tertentu mempersoal titah Yang di-Pertuan Agung yang melarang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, Najib menjelaskan, titah itu dibuat atas kapasiti sebagai Sultan Kedah.

"Pendirian kerajaan jelas iaitu perlu tertakluk kepada enakmen. Tuanku selaku Ketua Agama Islam Kedah sudah bertitah dalam isu berkenaan maka semua orang kena patuh kepada enakmen," jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan pula, Najib memberitahu, Majlis Tertinggi UMNO telah meluluskan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) parti yang akan diedarkan ke peringkat bahagian dan cawangan dalam masa terdekat.

Beliau yang enggan memperincikan spesifikasi KPI tersebut berkata, amalan kerja UMNO bagi setiap peringkat dari pucuk pimpinan sehingga akar umbi selepas ini akan berpandukan kepada asas tersebut.

"Misalnya Majlis Tertinggi akan turun memantau dengan lebih sistematik gerak kerja peringkat bahagian dan bahagian juga akan buat perkara sama terhadap cawangan bagi memastikan parti lebih efektif," katanya.


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger