Headlines News :
Home » » Keretapi Bukit Bendera rosak lagi

Keretapi Bukit Bendera rosak lagi



GEORGETOWN - Perkhidmatan Kereta Api Bukit Bendera yang mula beroperasi 25 April lalu sekali lagi mengalami masalah teknikal semalam apabila komponen elektrik pada sebuah gerabak mengalami kerosakan menyebabkan penyaman udaranya gagal berfungsi.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera, Datuk Lee Kah Choon berkata, perkhidmatan kereta api berkenaan masih lagi beroperasi seperti biasa walaupun penghawa dingin menghadapi masalah.

Beliau berkata, kerosakan disedari pemandu sebuah gerabak kira-kira jam 2 petang namun tidak ada sebarang masalah lain yang berlaku.

“Setakat ini kami tidak menerima sebarang aduan daripada pengunjung dan saya memberi jaminan bahawa kerosakan yang berlaku akan dibaiki segera,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, petang semalam.

Kah Choon berkata, kerja baik pulih akan dilakukan sebaik sahaja perkhidmatan dihentikan pada jam 7 petang tetapi tidak dapat menjangkakan tempoh yang akan diambil. Menurutnya, masalah yang berlaku menyebabkan pihaknya terpaksa menghentikan operasi jualan tiket kerana mahu memfokuskan operasi membawa turun penumpang kerana bimbang masalah lain akan timbul.

“Punca kerosakan yang berlaku bukan akibat pelanggaran anjing seperti sebelum ini dan kami sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar,” katanya.

Beliau berkata, jualan tiket disambung semula kira-kira jam 4.30 petang setelah bahagian teknikal mengesahkan kedua-dua gerabak kereta api selamat digunakan dan hanya sebuah gerabak mengalami masalah penyaman udara.

Terdahulu pada sidang media yang diadakan sebelah pagi, Kah Choon berkata, perkhidmatan Kereta Api Bukit Bendera berjaya menarik 75,375 penumpang sejak dibuka lima minggu lalu.

Menurutnya, angka itu amat membanggakan dan membuktikan bahawa Bukit Bendera adalah sebuah destinasi yang menarik dan perlu dikunjungi orang ramai kerana terdapat banyak tarikan baru berbanding sebelum ini.

“Angka itu adalah peningkatan 43 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2009 dan 73 peratus berbanding Februari tahun lalu sebelum operasi dihentikan, untuk kerja naik taraf,” katanya
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger