Headlines News :
Home » » KERAJAAN BN AKAN TERUS BANTU SEKOLAH PONDOK , KUKUHKAN INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM

KERAJAAN BN AKAN TERUS BANTU SEKOLAH PONDOK , KUKUHKAN INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM


Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan akan membantu institusi pendidikan Islam di negara ini seperti sekolah pondok termasuk menjadikan ia sebagai sekolah bantuan kerajaan demi memperkukuhkan institusi pendidikan Islam. Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan sekolah tersebut dengan menyalurkan bantuan diperlukan sebagai membuktikan kesungguhan kerajaan membangunkan sistem pendidikan Islam, termasuk sekolah pondok.

 Katanya, yang juga Menteri Pendidikan, peruntukan RM50 juta dalam Bajet 2014 bagi membantu Sekolah Agama Rakyat membuktikan sokongan kerajaan terhadap institusi tersebut. "Saya sokong 100 peratus sekolah pondok.... untuk kukuhkan institusi pendidikan Islam kita.

 Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak umum peruntukan RM50 juta untuk membantu sekolah ini di seluruh negara. "Sebagai pemimpin, saya ingin supaya kita semua bersatu berkerjasama sebagai satu pasukan mantap supaya kita dapat memimpin ke arah umat Islam berjaya," katanya berucap di Majlis Ramah Mesra bersama imam, guru pondok, guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA)/ Sekolah Pendikan Islam dan penduduk Sungai Dedap di Sekolah Kebangsaan Sungai Dedap, Sungai Limau di sini hari ini.

 Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan yang pertama kali diumumkan itu diharap dapat memajukan sekolah tersebut termasuk sekolah pondok dan tahfiz di negara ini seiring dengan sekolah aliran lain yang diharap dapat memberi peluang pendidikan seluas-luasnya kepada semua.

 Pada majlis sama beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM118,000 kepada 10 persatuan agama termasuk Persatuan Guru-guru KAFA, Persatuan Pegawai Masjid dan Persatuan Guru Takmir di Yan selain bantuan komputer riba kepada 22 pusat pengajian KAFA di kawasan ini yang bernilai RM65,000.

 Sementara itu, ketika berucap dalam Majlis Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) di Bukit Besar di sini, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, Barisan Nasional (BN) tidak akan patah semangat berjuang memenangkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau meskipun menyedari kawasan berkenaan dilabel sebagai kubu kuat Pas sebelum ini.

 Sebaliknya beliau berkata, BN optimis dengan peluang yang ada memandangkan pengundi kini lebih bijak membuat pilihan bagi memastikan kawasan terbabit menikmati pembangunan lebih mapan berbanding kawasan lain.

 Beliau berkata, BN juga tidak pernah memaksa pengundi di Sungai Limau untuk memberi sokongan tetapi mereka harus melihat undi yang bakal diberikan itu adalah secara rasional dan demi masa depan. "Ada orang berkata kepada saya, buat apa datang bertanding di Sungai Limau kerana ini kubu kuat Pas. Bendera hijau lebih banyak sehingga menenggelamkan bendera biru.

Saya berpendapat tidak mustahil untuk BN menang. Ini semuanya dengan izin Allah SWT. "Sebelum ini pelbagai pihak beranggapan sukar untuk BN merampas kembali Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Namun, BN telah buktikan kita mampu merampas Kedah dan sekarang sudah membentuk kerajaan negeri. Hal ini mungkin boleh berlaku dalam PRK Sungai Limau," katanya sambil mengajak pengundi Sungai Limau memilih calon BN yang ternyata mempunyai keupayaan lebih untuk membangunkan kawasan tersebut. 

Dalam majlis perjumpaan bersama waris murid dan warga pendidikan Daerah Kuala Muda/ Yan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Limau pula, beliau menegaskan, penduduk kawasan itu tidak perlu berasa terikat atau berdosa untuk berhijrah kepada kehidupan lebih baik dengan mengundi calon BN pada 4 November ini.

 Menurutnya, 'penghijrahan' itu menuntut keberanian pengundi dengan melihat sokongan mereka terhadap BN sebagai usaha untuk membawa perubahan positif yang lebih besar di DUN tersebut.

 Beliau turut mengingatkan penduduk Sungai Limau yang majoritinya umat Islam berhubung firman Allah dalam surah Ar-Ra'ad ayat 11 yang menegaskan, sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.

 "Sungai Limau tidak akan banyak berubah jika saudara-saudari tidak membuat perubahan dari warna hijau ke warna biru. Berhijrah dari Pas kepada UMNO tidak salah. Tiada hukuman kata ini satu dosa besar," katanya. Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta untuk melaksanakan projek menaik taraf 12 bangunan sekolah di dalam DUN Sungai Limau.

 Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, para pengundi tidak perlu mempercayai jika ada pihak-pihak tertentu mengatakan kononnya mereka akan berdosa jika menyokong UMNO kerana parti itu yang menunjangi kerajaan BN mempertahankan akidah, memperjuangkan Islam termasuk dengan membangunkan pelbagai institusi dan enakmen agama Islam.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger