Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang mengecam tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah mengeluarkan surat arahan bertarikh 23hb Februari 2015 kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai yang bertajuk “TIADA DISKAUN 5% BAGI LOT BUMPUTERA UNTUK RUMAH KOS RENDAH, KOS SEDERHANA RENDAH DAN RUMAH MAMPU MILIK”.
Dalam hal ini, Pegerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang merasakan ini adalah suatu tindakan yang tidak adil, rasis dan mempunyai niat yang jahat terhadap golongan bumiputera terutamanya Melayu di Pulau Pinang. Ini adalah satu lagi bukti penarikan keistimewaan hak bumiputera.
Kami faham bahawa selama ini tiada diskaun 5% untuk kategori kos rendah, kos sederhana rendah tetapi yang menghairankan kenapa diskaun 5% kepada bumiputera ini tidak diberikan kepada rumah mampu milik. Golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah sekarang ini tidak lagi mampu untuk memiliki rumah dalam kategori rumah mampu milik jika Kerajaan Negeri meneruskan polisi tiada diskaun ini kepada bumiputera. Tindakan ini sekali lagi membuktikan niat jahat dan sifat rasis Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kami juga amat kesal jika kategori rumah mampu milik tidak diberikan diskaun sebanyak 5% kerana ini akan menghalang aspirasi Kerajaan Persekutuan dalam memastikan agenda pemilikan rumah mampu milik oleh rakyat.
Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang juga ingin menuntut penjelasan daripada Kerajaan Negeri terhadap 30% kuota bumiputera yang seharusnya diperuntukkan kepada bumiputera, sama ada ianya masih terpakai dan wujud?
Rafizal Abd Rahim
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang
Post a Comment