Headlines News :
Home » » MUHYIDDIN MAHU KAEDAH MUSYAWARAH DIGUNAKAN TENTUKAN CALON

MUHYIDDIN MAHU KAEDAH MUSYAWARAH DIGUNAKAN TENTUKAN CALON




Alor Setar: Pemimpin UMNO perlu mengambil pendekatan ‘musyawarah’ atau duduk berbincang dalam soal penentuan calon bagi mengelak berlakunya situasi cacamerba dalam pemilihan parti nanti.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kaedah musyawarah dapat mewujudkan kesatuan pemikiran untuk mencapai keputusan individu mana yang benar-benar sesuai untuk menawarkan diri pada pemilihan, sejajar dengan proses transformasi parti. 


Bagaimanapun, katanya, cadangan itu tidak bermaksud beliau mahu mengganggu proses demokrasi dalam parti tetapi melihatnya sebagai kaedah yang boleh digunakan bagi memilih pemimpin. 


Bukan mudah dilaksana

“Saya mengakui ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan terutama di beberapa bahagian UMNO tertentu yang sehingga kini terbukti masih lagi diselubungi aura amalan ‘warlordisme’.

“Namun, ia boleh mencapai matlamat memilih pemimpin paling baik, layak, berakhlak tinggi dan dihormati,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri UMNO Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, semalam.

Turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir dan timbalannya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah. 
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan musyawarah wajar dalam keadaan UMNO berdepan kaedah pemilihan baru, di mana akan memperlihatkan ramai calon tampil untuk bertanding.

“Ini cara baru yang pertama kali kita buat namun ia mungkin boleh jadi satu tradisi di mana sebelum cadang atau daftar diri untuk bertanding di bahagian atau peringkat tertinggi, perlu diadakan perbincangan terlebih dulu terutama di peringkat bahagian.

“Ini untuk mengelak kemungkinan timbul terlalu banyak calon yang bertanding (untuk satu-satu jawatan). Ini tidak membantu, kecuali masing-masing boleh duduk dan berbincang awal-awal (mengenai jawatan yang akan ditandingi).

Bimbang timbul masalah

“Selain itu saya khuatir jika timbul masalah dalam pemilihan di peringkat bahagian, matlamat kita dalam mengadakan proses pemilihan itu mungkin gagal.

“Ini kerana, proses pemilihan yang kita jalankan ini bukan saja diperhatikan orang dalam UMNO, tetapi semua orang Melayu dan bukan Melayu.

“Saya mahu UMNO kuat dan jika kita kuat, parti komponen lain pun boleh tumpang sama untuk tambah kekuatan,” katanya.

Mengenai ucapannya mengenai proses meremajakan UMNO, Muhyiddin berkata ia bukan bermaksud mengenepikan sumbangan orang lama, sebaliknya lebih kepada proses penyusunan kepimpinan untuk menjadikan UMNO sedia menghadapi transformasi dan perubahan.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger