GEORGE TOWN, 2 Nov – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan langkah kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan rang undang-undang antilompat parti sebagai gimik dan sandiwara politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Beliau berkata sebenarnya ia merupakan cubaan Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk menimbulkan sesuatu isu.
“Itu semua gempak politik, sandiwara Guan Eng…dia cari macam-macam isu… nak mempopularkan diri dia sendiri,” katanya selepas melawat rumah ibu tunggal, M. Sithalachemy, 57, di Sungai Ara, dekat sini, Jumaat.
Semalam, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan rang undang-undang ‘Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012′ bertujuan membanteras amalan melompat parti untuk mendapatkan habuan.
Rang undang-undang itu memperuntukkan seseorang anggota dewan yang telah dipilih sebagai calon sesebuah parti politik hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia melepaskan atau dilucutkan keanggotaannya atau berhenti daripada menjadi anggota parti politik tersebut atas apa-apa juga sebab.
Shahrizat berkata tindakan itu juga jelas menunjukkan Lim sudah hilang keyakinan terhadap anggota parti pakatan pembangkang dan pentadbirannya.
“Dia takut orang belah (tinggalkan) parti dia, konco-konco dia lari. Sebab itu dia nak kunci dari sekarang. Saya nak persoalkan nawaitu Guan Eng adakah ini betul-betul proses demokrasi atau dia betul-betul takut habis,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shahrizat menggesa semua jentera pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) untuk turun padang membantu rakyat miskin terutamanya di negeri-negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.
Beliau berkata maklum balas yang diterimanya menunjukkan ramai golongan miskin dan kurang berkemampuan di negeri-negeri berkenaan tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri.
Katanya, jentera Wanita BN perlu pergi dari rumah ke rumah untuk memberi bantuan kepada golongan berkenaan.
Terdahulu, Shahrizat menyampaikan sumbangan RM1,000 dan barangan keperluan asas kepada Sithalachemy yang menjalani pembedahan akibat masalah urat dua bulan lepas.
Post a Comment