Headlines News :
Home » » MASALAH KEKURANGAN DOKTOR SERIUS DI SARAWAK - HILMI

MASALAH KEKURANGAN DOKTOR SERIUS DI SARAWAK - HILMI




KUCHING - Sarawak mengalami masalah kekurangan doktor yang serius dengan seorang pegawai perubatan untuk setiap 1,500 penduduk berbanding 1:700 di Semenanjung.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, masalah itu berlaku disebabkan tidak ramai yang mahu kekal berkhidmat di Sarawak selepas tamat tempoh penempatan mereka.

"Kementerian Kesihatan memang mempunyai dasar menghantar pelajar yang tamat 'housemanship' bertugas di Sarawak, namun doktor dari Semenanjung ini setelah berkhidmat beberapa tahun, mereka akan balik semula ke Semenanjung dan sebab itulah kita sering mengalami masalah ini," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Hospital Umum Sarawak, di sini hari ini.

Katanya kementerian itu tidak mengamalkan dasar paksaan dalam menempatkan pegawai perubatannya, sebaliknya menggalakkan mereka menawar diri secara sukarela.

Menurut Dr Hilmi, kementerian memberi pelbagai insentif untuk menggalakkan doktor berkhidmat di Sarawak, baik yang berasal dari Semenanjung mahupun anak tempatan.

Dr Hilmi mengetuai delegasi kementerian dalam lawatan dua hari ke Sarawak bagi meninjau keadaan hospital dan klinik kesihatan kerajaan di negeri itu.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Zulkifli Jantan yang turut hadir, berkata sehingga bulan ini, 70 pegawai perubatan dari Semenanjung dihantar bertugas di negeri itu berbanding 40 orang sepanjang tahun lepas.

"Ini satu peningkatan...selain 70 pegawai ini, Jabatan Kesihatan Sarawak akan terus menerima penghantaran pegawai perubatan sehingga akhir tahun," katanya. - Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger