Headlines News :
Home » » Jawatankuasa Khas Parlimen kawal SPR langkah baik - Reezal

Jawatankuasa Khas Parlimen kawal SPR langkah baik - Reezal



KEPALA BATAS -  Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memindahkan fungsi dan kawal selia SPR kepada jawatankuasa khas yang diwakili Ahli Parlimen semua parti politik adalah langkah terbaik.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah ini meluaskan agenda transformasi politik secara jujur, berterus-terang dan terbuka untuk membolehkan negara berada dalam iklim amalan demokrasi yang dapat dilakukan secara sihat.

Menurutnya, ia menunjukkan kegigihan, kesungguhan dan istiqamah Najib yang mengamalkan sepenuhnya demokrasi yang berintegriti dan sihat serta jauh daripada anasir yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini.

“Ia juga menunjukkan amalan demokrasi negara kita tidak dinodai persepsi tertentu, yang jika dibiarkan, akan menjejaskan kredibiliti SPR.  Penyertaan Ahli Parlimen daripada pembangkang dan pemerintah akan menutup ruang dan pandangan bahawa amalan-amalan demokrasi Malaysia tidak bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Najib bahawa kerajaan memutuskan fungsi dan kawal selia SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili Ahli Parlimen sebagai langkah memperkukuhkan kewibawaan serta kredibiliti badan itu.

Reezal, yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno berkata, kerjasama jawatankuasa itu akan menghasilkan pelbagai perspektif dan dimensi.

"Dengan adanya jawatankuasa khas itu, ada kebertanggungjawaban kepada SPR," katanya.

"Bagaimanapun, katanya, sebelum ini 80 peratus tuntutan Bersih dilaksanakan, tetapi masih ada suara-suara yang tidak berpuas hati.

"Selepas PRU13, wujud beberapa dakwaan tidak betul. Saya harap dengan adanya jawatankuasa khas ini, tidak ada sebab meragui ketulusan dan integriti SPR,” katanya.
  
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger