Headlines News :
Home » » Adun BN Teluk Bahang cabar Rafizi bawa bukti penipuan ke saluran mahkamah

Adun BN Teluk Bahang cabar Rafizi bawa bukti penipuan ke saluran mahkamah




- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah tidak sama sekali gusar dengan dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa berlaku penipuan kertas undi di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini.

Beliau berkata, sekiranya Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mempunyai bukti kukuh, perkara berkenaan sepatutnya dibawa ke hadapan mengikut saluran undang-undang.

"Saya tidak terkejut dengan perkara yang dibangkitkan oleh PKR kerana mereka ini memang 'parti kuat riuh'.
"Untuk makluman Rafizi, bukanlah semudah itu hendak menipu dalam pilihan raya. Mereka hanya bising di kawasan yang Barisan Nasional (BN) menang sedangkan di tempat mereka menang, diam seribu bahasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Rafizi bahawa berlaku lebihan kertas undi sebanyak 138 undi di Parlimen Balik Pulau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan jika perkara itu dicabar, mampu mengubah keputusan kerusi di situ dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, BN memenangi kerusi Parlimen Balik Pulau menerusi Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dengan majoriti 1,539 undi manakala Shah Headan Ayoob menang majoriti 801 undi di Teluk Bahang.
BN berjaya mempertahankan ketiga-tiga kerusi DUN iaitu Bayan Lepas, Pulau Betong dan Teluk Bahang serta merampas kerusi Parlimen Balik Pulau daripada tangan PKR.

Mengulas lanjut, Shah Headan Ayoob berkata, jika benar BN berhasrat untuk menipu, adalah lebih baik melakukannya di kawasan Permatang Pauh atau Air Putih yang masing-masing ditandingi oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger