PRU13 Umno Pulau Pinang mensasarkan untuk memenangi 14 daripada 15 kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi pada masa yang sama, ia juga berdepan tugas berat untuk mempertahankan kemenangan tipisnya di empat kerusi di negeri itu.
Empat kerusi tersebut di mana Umno menewaskan PKR dengan majoriti kecil pada 2008 ialah Sungai Acheh (majoriti 250 undi), Pulau Betong (294), Teluk Bahang (465) dan Seberang Jaya (533). Dan kesemua kerusi tersebut terletak kawasan yang dimenangi pemimpin PKR - Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Yusmadi Yusof (Balik Pulau) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal), yang kemudiannya menjadi wakil rakyat bebas.
Pakatan merampas Pulau Pinang pada 2008 dengan DAP memenangi 19 kerusi, PKR 11 dan PAS satu, manakala Umno menang 11 kerusi, dan sekutu-sekutunya - Gerakan, MCA dan MIC - gagal memenangi sebarang kerusi.
Walaupun Umno dilihat menguasai kawasan majoriti Melayu di Pulau Pinang, tetapi spekulasi bertiup kencang bahawa kerusi marginal tersebut juga mungkin tidak selamat akibat persaingan dalaman dan sabotaj dalam parti. Pemimpin Umno, termasuk Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah berulangkali mengingatkan ahli-ahli supaya bersatu untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan dalam beberapa minggu lagi.
"Jika kita laporkan tentang konflik dalaman mereka seperti yang kita lakukan dengan Pakatan Rakyat, maka ia akan mengisi semua halaman akhbar kita - dari depan hingga ke belakang," kata seorang pemerhati politik yang rapat dengan kem Umno.
Malah, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (kanan) - dahulunya daripada PKR dan baru-baru ini menyertai Umno yang menurutnya "satu-satunya parti yang mengambil berat tentang orang Melayu", telah menulis di facebook mengenai harapannya untuk melihat BN mengotai janjinya untuk meletakkan 'calon mampu menang' dan bukan hanya kroni pemimpin BN tertentu yang nenumpang populariti Najib.
Bagaimanapun, lain pula pandangan ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Mohd Shah, yang mewakili salah satu daripada kerusi marginal tersebut. Mohd Arif berkata, pihaknya menjangkakan untuk memenangi lebih banyak kerusi kali ini kerana wujudnya "perpaduan" di setiap peringkat dalam BN Pulau Pinang di bawah kepimpinan pengerusinya yang baru, Teng Chang Yeow dari Gerakan.
Seperti pemimpin BN yang lain, Mohd Arif meletak harapan yang tinggi terhadap pelan transformasi Najib dan 'Janji Ditepati' untuk membantu merampas Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.
Ditanya mengenai kedudukannya yang menewaskan lawannya Ramli Bulat dari PKR pada 2008 dengan majoriti 533 undi sahaja, Mohd Arif percaya Umno akan mencapai keputusan yang lebih baik kali ini.- MALAYSIAKINI -
+ comments + 1 comments
Jangan mimpi nak menang 14. Silap2 hanya boleh bertahan untuk kekal 5 kerusi sahaja. Jika Non masih nak tunjuk lagak memimpin di Nibong Tebal kerusi Sg Aceh pun akan jatuh pada pembangkang. Permatang Pauh 2 kerusi pembangkang usah dimimpi untuk BN perolehi malah kerusi Seberang Jaya pun akan terlepas jika Jalil terus nak tujuk lagak nak jadi hero. Yang agak selamat kerusi di Kepala Batas. Kerusi di Tasik Glugor jika Sharif Omar tak diberi muka untuk calon2 pilihan nya bertanding maka calon pilihan Shahbudin pasti akan kecundang oleh para penyokong Sharif Omar. Bergitu juga di Balik Pulau, Jika Helmi masih nak bertanding dan menjadi taiko nak memimpin BN nescaya ke tiga tiga kerusi ADUN akan terlepas ketangan PR. Semua kekalahan berlaku bukan pasal PR terbaik untuk pengundi tapi atas protes pengundi kepada pemimpin BN yang tak reti2 untuk berundur. Contoh seperti Non Panjang. Kerusi Parlimen N.Tebal dan semua kerusi ADUN adalah kerusi BN N.Tebal umpama kubu kuat BN di P.Pinang. Jadi bilamana kerusi Parlimen jatu pada PR dan 2 kerusi Adun hilang maka Non seharusnya mengambil sepenuh tanggungjawap serta melepaskan semua jawatan dan beri pada orang lain untuk memimpin BN dalam pilihanraya 13.Ini tidak, bila pengundi telah tolak kepempinan dalam pilihanraya 12 masih juga nak tunjuk muka dalam pilihanraya 13. Tak malu ke?
Post a Comment