Headlines News :
Home » » 38 keluarga kakitangan MPPP kecewa dihalau kerajaan DAP

38 keluarga kakitangan MPPP kecewa dihalau kerajaan DAP




PULAU PINANG 27 Feb. - Sebanyak 38 keluarga kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) 'dihalau' daripada kuarters mereka di Jalan SP Chelliah, Sungai Pinang di sini bagi memberi laluan terhadap projek pembinaan rumah mampu milik.

Kesemua kakitangan terbabit telah menerima surat arahan berpindah ke Taman Sri Pinang selewat-lewatnya 15 Mac ini.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka berat hati untuk berpindah berikutan keadaan rumah yang bakal didiami dikatakan 'tidak selamat'.

Bekas Timbalan Presiden Kesatuan Buruh MPPP, Mohd. Rofi Osman berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah terdesak untuk meraih sokongan pengundi sehingga sanggup mengambil keputusan sedemikian.

"Walaupun mereka tinggal di kuarters, proses pemindahan yang dilakukan seakan-akan ada agenda tersirat kerana tempoh diberikan terlalu singkat, lagi pun kediaman baru itu mempunyai pelbagai masalah.

"Bukan mereka tidak mahu tinggal di Taman Sri Pinang tetapi keadaannya teruk seperti lantai jubin pecah, paip tersumbat dan masalah penyelenggaraan lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Presiden Pertubuhan Kebajikan Insan Mulia (PKIM), Aminah Abdullah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini melancarkan pendaftaran untuk 1,840 rumah mampu milik di dua kawasan iaitu Jalan SP Chelliah dan Bandar Cassia, Batu Kawan.
Di Jalan SP Chelliah, sebanyak 1,320 unit rumah pangsa kos sederhana rendah dan pangsapuri mampu milik bakal dibina.
Guan Eng sebelum ini juga dikritik hebat kerana gagal membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri apabila selepas lima tahun mentadbir, tiada satu pun projek pembinaan rumah mampu milik dibina oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Mohd. Rofi yang juga bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bukit Bendera menjelaskan, MPPP sepatutnya menjaga kebajikan kakitangannya daripada menjadi kuda tunggangan pihak lain yang bermotifkan politik.

"Pegawai bertanggungjawab perlu turun padang untuk mendengar rintihan kakitangan mereka yang tidak mahu berpindah.

"Ini bukan perkara remeh dan bukan sahaja melibatkan kakitangan MPPP malah keselamatan keluarga mereka juga akan terancam," ujarnya.


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger