Headlines News :
Home » » Manifesto BN P.Pinang hanya tunggu masa diumumkan

Manifesto BN P.Pinang hanya tunggu masa diumumkan




GEORGE TOWN: Manifesto Barisan Nasional (BN) khusus untuk Pulau Pinang bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 telah siap dan hanya menunggu masa untuk diumumkan kepada rakyat negeri ini, kata Pengerusi BN Negeri, Teng Chang Yeow.

 Beliau berkata BN Negeri akan mengumumkan manifesto itu selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi BN Pusat
menyampaikan manifesto BN.

 Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kandungan dalam manifesto tersebut.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bandar Selamat Inisiatif Pemutihan Kawasan 'Black Spots' Daerah Timur Laut, di Sekolah Kebangsaan Sri Aman, di sini pada Sabtu. 

Diminta mengulas tindakan sekumpulan anggota yang mendakwa dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) bertindak ganas dengan mencetuskan kekecohan ketika naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua hadir pada satu majlis di sini malam tadi, Teng berkata BN tidak terlibat dalam insiden itu.

 "Ia adalah tindakan bodoh dan tidak matang oleh NGO berkenaan kerana mengambil undang-undang sendiri untuk menghukum individu yang tidak disukai," katanya.

 Dalam kejadian itu, kira-kira 100 anggota NGO berhimpun di luar Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Jalan Masjid Kapitan Keling di sini, seawal pukul 8 malam untuk membantah kenyataan Tian Chua sebelum ini bahawa pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah adalah sebagai sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat. 

Keadaan mula menjadi kecoh semasa Anggota Parlimen Batu itu beredar dari majlis tersebut selepas memberi ceramah kira-kira 30 minit, apabila keretanya dihalang dan ditumbuk oleh anggota-anggota NGO terbabit.


 Bagaimanapun, pihak polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan yang berada di situ berjaya mengawal keadaan sementara seorang lelaki turut ditahan berhubung kejadian itu. BERNAMA
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger