DI Pulau Pinang, setiap lorong dan lengkuknya akan adalah bertebaran cawangan-cawangan UMNO serta parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).
Di kerusi Parlimen Permatang Pauh juga serupa keadaannya. Dicampur kesemua cawangan di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalamnya - Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya - terdapatlah 96 cawangan UMNO, 24 MCA, 32 MIC, 14 Gerakan dan 10 Parti Progresif Penduduk (PPP).
Adakah selama 15 tahun ini sejak 1998, cawangan-cawangan berkenaan berkemungkinan diabaikan? Itu persoalan yang dikatakan berlingkar di fikiran kebanyakan orang di Pulau Pinang?
Namun dikatakan faktor itu juga antara punca dan alasan utama mengapa kerusi Parlimen Permatang Pauh dan kerusi-kerusi DUN kecuali Seberang Jaya yang menang tipis tempoh hari, tidak pernah dapat didakap lagi oleh BN.
Ibarat hujan yang mencurah tidak sampai ke akar. Itu barangkali analogi sesuai menceritakan situasi politik di Permatang Pauh.
Ramai bertanya, apa antara penyelesaian terbaik untuk mengembalikan kerusi Parlimen Permatang Pauh ke pangkuan BN yang selama ini didominasi Anwar Ibrahim.
Jawapan penulis yang ada sekelumit pengalaman melingkari akar politik Pulau Pinang khususnya Permatang Pauh sekitar 2003-2006 sebelum ini, mudah sahaja - ceriakan seberapa segera cawangan-cawangan parti-parti komponen BN di sana.
Dalam konteks ini, yang paling utama sekali apa sahaja peruntukan perlu sampai ke bawah. Ke bawah maksudnya adalah perkara itu mesti diterima cawangan-cawangan yang merupakan akar umbi. Nanti, di situlah kedapatan pengundi-pengundi.
Sebenarnya mungkin bukan rahsia lagi umum bercerita pasal kemelut politik di Permatang Pauh. Antara sesama kepemimpinan UMNO bahagian itu yang berkocak sekian lama. Antara ketua bahagian, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dan Datuk Arif Shah Omar Shah. Ini sehinggakan ramai kalangan ahli parti naik jemu, seolah-olah 'cerita krisis peribadi mereka berdua' mengatasi matlamat utama parti untuk menang di kerusi Ketua Pembangkang itu.
Masyarakat Permatang Pauh maklum dan tahu dari hujung pangkal hingga ke akarnya bahawa Anwar bukanlah individu yang tidak boleh ditumbangkan. Dari segi merealisasikan pembangunan untuk rakyat di situ, dia gagal. Balik ke kawasan dan menjenguk rakyat pun sekali-sekala.
Cuma yang digusarkan oleh BN Pusat, penulis kira barangkali berkaitan krisis yang tidak habis-habis dalam kepimpinan bahagian UMNO Permatang Pauh. Kalau setakat parti itu sahaja tak mengapa, ini 'memercik' pula ke cawangan-cawangan komponen BN yang lain.
Kalau ditanya kepada D. Vello (Ketua MIC Permatang Pauh), P. Muniandy (Ketua PPP di situ), Ma Kok Ben (Ketua MCA Bahagian Permatang Pauh) dan Tan Tee Pin (Ketua Gerakan di situ juga), mereka akan bercerita perkara sama.
Dan apa yang mengejutkan penulis, baru-baru ini sahaja - yakni ketika seluruh negara sedang merasai bahang mendatang Pilihan Raya Umum Ke-13 ini - isu kemelut kedua-dua pemimpin bahagian tadi masih membara. Ini apabila Arif Shah yang semasa memberi taklimat persediaan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sebuah hotel di Seberang Perai baru-baru ini, tiba-tiba mengumumkan 'gencatan senjata' dengan Abdul Jalil. Apa maksudnya itu? Maknanya, memang ada pertelingkahanlah antara dia dan Abdul Jalil. Tak sudah-sudah.
Hakikatnya, perubahan di Permatang Pauh boleh berlaku jika isu-isu yang berbangkit diselesaikan serta kerjasama yang kuat dapat disatukan. Jika diabaikan, Jentera PRU Parlimen BN akan gagal. Ditambah pula dengan pembangunan yang pesat terutamanya di Bandar Seberang Jaya diikuti Penanti dan Permatang Pasir yang mana sedikit sebanyak boleh membantu UMNO meningkatkan majoriti.
Dan kalau diteliti gerak kerja PDM di Seberang Jaya misalannya, 'atas kerja memang cantik' tetapi dari segi praktikal kurang memuaskan. Walaupun dengan kemasukan pengundi baru yang mencecah 7,500 orang ke situ untuk PRU-13 ini, kedudukan pemenang kerusi di tangan BN adalah 50:50. Arif, yang menang tipis di DUN itu pada 2008 atau sesiapa sahaja, seandainya diberi peluang untuk bertanding di Seberang Jaya, akan memerlukan keajaiban kali ini untuk menang. Ditambah pula, dengan hasrat menggunung Anwar untuk merampas kerusi Seberang Jaya yang belum pernah tercapai setakat hari ini oleh calon-calon PKR.
Cuma, antara berita yang sedikit menggembirakan di kawasan Parlimen Permatang Pauh terutama di Seberang Jaya baru-baru ini ialah perubahan ketara sambutan kaum Cina dan India terhadap majlis-majlis anjuran BN. Dalam satu jamuan Gong Xi Fa Chai anjuran Majlis Permuafakatan Parlimen Permatang Pauh pada 14 Februari lalu dianggarkan kehadiran kaum Cina sahaja mencecah 5,000 orang. Ini tidak pernah-pernah berlaku. Mereka terpacul seawal pukul 7.30 malam lagi.
Apa yang dilakukan oleh pengerusi majlis permuafakatan itu, Datuk Nasir Abdullah yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh ialah mengagih-agihkan kerja dalam melancarkan program berkenaan. Ini termasuklah perkara-perkara kecil yang nampak remeh, tetapi besar maknanya. Iaitu mengagihkan tiga gerai capati, tose dan putu mayam untuk peniaga India; air longan, ais kacang, ais krim, rojak dan sotong kangkung untuk gerai-gerai Cina manakala pemilik gerai Melayu dihadiahkan menu sate, nasi tomato, laksa dan mi goreng.
"Syukur Alhamdulillah, berkat kerja-kerja berpasukan ini antara UMNO, Gerakan, MCA, MIC dan PPP, kehadiran pengunjung cukup memuaskan...kehadiran kaum Cina sekitar 5,000 orang yang diikuti kaum India 1,000 orang, seterusnya Melayu selepas Isyak, menjadikan bilangan yang hadir mencecah 7,500 orang," kata beliau.
Cerita jamuan Gong Xi Fa Chai adalah secebis kisah yang tampak sedikit menceriakan jentera BN Permatang Pauh. - UTUSAN MALAYSIA
Namun, persoalan yang belum selesai berkisar kepimpinan bahagian yang perlu melibatkan rombakan besar. Penulis sendiri sudah 'lali' sampai tak masuk ke telinga tentang rungutan-rungutan yang dikhabarkan.
Antaranya, isu peruntukan yang tidak sampai ke tangan pihak yang berhak, rungutan sikap segelintir individu yang memungkiri janji dan menabur janji-janji kosong. Ini termasuklah bantuan rumah untuk keluarga miskin yang patut dan perlu dibaiki, masih lagi terbengkalai. Dan sikap yang hanya menumpukan gerak kerja di satu-satu DUN sahaja.
Turut dirungutkan ialah tindak-tanduk kepimpinan bahagian membelakangkan jentera sayap bahagian sehinggakan program-program yang diatur tidak mendapat sambutan baik. Misalnya Himpunan Anak Muda Peringkat Parlimen Permatang Pauh pada 2 Februari lalu, yang difahamkan tidak berjaya menarik minat kalangan orang muda.
Malah, Program SHAP ( Setiap Hari Ada Program) dikatakan tidak dijalankan dengan konsisten dan hanya menjalankan dua aktiviti dalam seminggu.
Seluruh 96 cawangan UMNO dalam Permatang Pauh harus diaktifkan dengan agihan peruntukan yang seimbang. Jangan pula sekadar memperuntukkan hanya RM5,000 bagi tempoh empat tahun untuk setiap parti komponen. Itu tidak mencukupi untuk menggerakkan jentera, ditambah dengan bilangan cawangan-cawangan komponen yang ada.
Jentera pilihan raya BN Permatang Pauh perlu serius menggalas cabaran untuk menang di kerusi Parlimen Pauh, DUN Penanti, Permatang Pasir seterusnya mempertahankan DUN Seberang Jaya dengan majoriti yang baik.
Dan kepimpinan BN Pusat, dikira masih ada ruang masa untuk mencantikkan lagi bahagian Permatang Pauh , seterusnya memilih winnable candidate yang benar-benar layak di kesemua kerusi berkenaan.
Post a Comment